
JAKARTA – Seramai 11 mangsa dibawa ke hospital selepas sebuah feri penumpang membawa 460 orang terbakar di luar pantai Jawa semalam, memaksa semua penumpang dan anak kapal dipindahkan, lapor laman berita newswav hari ini.
Feri KMP Batumandi sedang menghampiri Pelabuhan Merak di Cilegon, wilayah Banten apabila asap kelihatan di bahagian belakangnya, kira-kira pukul 4.15 petang (waktu tempatan), demikian menurut beberapa laporan.
Feri berlepas dari Pelabuhan Bakauheni kira-kira pukul 2.52 petang itu membawa 420 penumpang dan 40 anak kapal apabila insiden berlaku.
Rakaman tular di internet menunjukkan api menyelubungi kapal berkenaan ketika penumpang bersiap sedia untuk dipindahkan.
Pasukan penyelamat dan bot nelayan tempatan bergegas ke lokasi kejadian, manakala kakitangan pelabuhan, Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan Indonesia (BASARNAS) serta polis bekerjasama untuk mengendalikan keadaan kecemasan itu.
Semua penumpang dan anak kapal berjaya dipindahkan dengan selamat. Namun, seramai 11 orang kemudian dibawa ke sebuah hospital berdekatan di Cilegon untuk menerima rawatan, lapor agensi berita Xinhua.
Punca kebakaran masih dalam siasatan.
Pelabuhan Merak merupakan terminal feri utama yang menghubungkan Pulau Jawa dan Pulau Sumatera merentasi Selat Sunda.
Insiden meningkatkan kebimbangan berhubung keselamatan feri di Indonesia, di mana kapal-kapal rentas pulau merupakan mod pengangkutan penting di negara kepulauan berkenaan.
Bulan lalu, sebuah feri penumpang karam di Laut Jawa ketika dalam perjalanan dari Surabaya menuju Banjarmasin, mengorbankan 80 daripada 243 orang di dalam kapal, manakala 55 lagi masih hilang.
Pada Ogos lepas, sebuah feri terbakar di luar Pulau Madura, menyebabkan lima orang terbunuh, manakala 41 penumpang dilaporkan hilang. Pada Julai lalu pula, sebuah feri karam di Selat Bali, menyebabkan 19 orang maut dan 17 hilang. – AGENSI
The post Feri penumpang terbakar di Indonesia appeared first on Kosmo Online.



