Feri terkandas beting pasir sebab elak pukat

21 Oct 2026 • 5:26 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Feri terkandas beting pasir sebab elak pukat

KUALA PERLIS – Seramai 251 penumpang feri Express Bahagia 98 yang terkandas di beting pasir dekat Terminal Feri Kuala Perlis pagi tadi selamat dipindahkan pada petang ini.

Kesemua penumpang bersama bagasi masing-masing berjaya dipindahkan kira-kira pukul 2.50 petang tadi iaitu kira-kira empat jam 15 minit selepas kejadian berlaku.

Pengurus Operasi Langkawi Ferry Line Ventures Sdn. Bhd., Leftenan Komander (B) Norhafiz Abdul Wahid berkata, feri dengan 10 kru itu berlepas dari Langkawi pada pukul 9.30 pagi sebelum dilaporkan terkandas kira-kira pukul 10.35 pagi berhampiran Boya No. 1, Kuala Perlis.

“Berdasarkan maklumat awal, insiden dipercayai berlaku ketika nakhoda feri mengambil tindakan mengelak pukat yang melintang di laluan pelayaran keluar dan masuk Kuala Perlis.

“Ketika tindakan mengelak halangan tersebut, kedua-dua enjin utama feri dihentikan sebelum keadaan angin menyebabkan feri dihanyutkan ke kawasan beting pasir,” katanya di sini hari ini.

Katanya, usaha awal untuk menarik keluar feri berkenaan menggunakan bantuan Feri Kenangan 6 dan Langkawi Auto Express 1 bagaimanapun gagal berikutan paras air laut yang semakin surut.

“Susulan itu, operasi pemindahan penumpang dilaksanakan dengan kerjasama Pasukan Polis Marin Kuala Perlis, Persatuan Nelayan Kuala Perlis dan Sea Splash Travel Sdn. Bhd.

“Operasi itu membabitkan sebuah bot Pasukan Polis Marin, sebuah bot nelayan serta empat bot fiber milik Sea Splash Travel Sdn. Bhd.,” ujarnya.

Sementara itu, usaha mengeluarkan feri dari kawasan beting pasir dijangka dilakukan sekitar pukul 7 malam ini apabila paras air laut kembali meningkat.

Jelasnya, operasi menarik feri akan dilaksanakan dengan bantuan bot nelayan, tertakluk kepada keadaan pasang surut air laut dan kesesuaian keadaan semasa.

Syarikat itu turut memohon maaf kepada semua penumpang dan pihak terjejas atas kesulitan serta gangguan perjalanan yang berlaku.

“Pihak syarikat memandang serius kejadian ini dan akan memberikan kerjasama sewajarnya kepada pihak berkuasa berkaitan dalam sebarang tindakan susulan yang diperlukan. Keselamatan penumpang dan kru sentiasa menjadi keutamaan kami,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan sebuah feri penumpang dari Langkawi terkandas di perairan Kuala Perlis dipercayai akibat tersangkut pada pukat nelayan di alur pelayaran pengangkutan air itu, pagi ini. – KOSMO! ONLINE

The post Feri terkandas beting pasir sebab elak pukat appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved