Feri terbakar di Pulau Jawa, penumpang berjaya dipindahkan

21 Oct 2026 • 9:13 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Feri terbakar di Pulau Jawa, penumpang berjaya dipindahkan

JAKARTA: Semua penumpang dan anak kapal feri KMP Batumandi yang terbakar berhampiran Pulau Merak Besar di wilayah Banten, Indonesia, pada Selasa berjaya dipindahkan.

Syarikat pengendali feri PT ASDP Indonesia Ferry mengesahkan kejadian itu berlaku ketika feri berkenaan sedang menghampiri Dermaga VI Pelabuhan Merak di Cilegon, Banten pada petang semalam.

Menurut Setiausaha Korporat ASDP, Windy Andale, feri tersebut bertolak dari Pelabuhan Bakauheni pada sekitar 2.52 petang (waktu tempatan).

Kira-kira 4.15 petang, petugas pelabuhan melihat percikan api di bahagian belakang feri di dek atas yang digunakan untuk membawa kenderaan kecil.

“ASDP mengesahkan semua penumpang dan anak kapal berjaya dipindahkan,” kata Windy seperti dipetik agensi berita Antara.

Beliau berkata, usaha menangani kebakaran itu sedang dijalankan oleh pasukan gabungan yang terdiri daripada petugas pelabuhan, Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional Indonesia (Basarnas) serta polis.

ASDP turut bekerjasama dengan pihak berkuasa pelabuhan dan agensi berkaitan bagi memastikan operasi dijalankan dengan selamat dan teratur.

Punca kebakaran masih belum diketahui dan siasatan akan dijalankan oleh pihak berkuasa.

Setakat laporan itu diterbitkan, jumlah penumpang dan anak kapal serta sama ada terdapat mangsa yang cedera atau maut belum dinyatakan.

Pelabuhan Merak merupakan antara pelabuhan feri utama di Indonesia yang menghubungkan Pulau Jawa dengan Sumatra menerusi Selat Sunda.

The post Feri terbakar di Pulau Jawa, penumpang berjaya dipindahkan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved