Fernandez sertai City, samai rekod Isak

Football
3 Sep 2026 • 8:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Fernandez sertai City, samai rekod Isak

LONDON: Manchester City melengkapkan pembelian pemain tengah Argentina, Enzo Fernandez dari Chelsea dengan yuran perpindahan mencecah 125 juta pound (RM684 juta), sekali gus menyamai rekod perpindahan termahal Britain.

Nilai berkenaan menyamai jumlah yang dibayar Liverpool kepada Newcastle United bagi mendapatkan penyerang Sweden, Alexander Isak pada tahun lalu, sekali gus menjadikan nilai perpindahan Fernandez antara yang terbesar dalam sejarah bola sepak Britain.

Kehadiran pemain berusia 25 tahun itu dijangka menjadi tonggak utama dalam pembentukan semula jentera tengah City selepas  kehilangan Rodri yang menyertai Barcelona, selain pemergian Bernardo Silva, Nico Gonzalez dan Tijjani Reijnders.

Lebih menarik, pengendali City, Enzo Maresca mempunyai pengetahuan mendalam mengenai kemampuan Fernandez selepas pernah bekerjasama dengannya ketika di Chelsea, sebelum mengambil alih tugas besar menggantikan Pep Guardiola di Etihad.

Fernandez kini bakal membentuk gandingan baharu di bahagian tengah City bersama pemain England, Elliot Anderson dan bintang Maghribi, Ayyoub Bouaddi, dengan keseluruhan pelaburan kelab terhadap trio berkenaan dilaporkan melebihi 300 juta pound (RM1.64 bilion).

“Saya mahu anda tahu bahawa beberapa hari ini bukan mudah untuk saya. Menulis perkara ini juga bukan sesuatu yang mudah. Hakikatnya, saya tidak berada dalam keadaan yang baik.

“Hidup adalah mengenai membuat keputusan dan ketika ini saya mendapati diri saya perlu membuat salah satu keputusan sukar itu,” kata Fernandez.

Fernandez menyifatkan keputusan menyertai City sebagai peluang untuk menjadi pemain lebih baik, selain teruja menyertai kelab yang dianggapnya mempunyai pengurusan dan skuad bertaraf tinggi.

“Setiap pemain mahu menjadi sebahagian daripada kelab seperti ini kerana semua orang tahu betapa baiknya City diuruskan. Kelab ini dibina untuk mencapai kejayaan.

“Jika anda melihat keseluruhan skuad, City mempunyai kualiti di setiap bahagian. Saya mahu belajar daripada rakan sepasukan baharu dan menjadi pemain yang lebih baik,” katanya.-AGENSI

The post Fernandez sertai City, samai rekod Isak appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved