
LONDON – Arsenal tegas menolak permintaan Chelsea untuk mendapatkan khidmat pemain tengahnya, Martin Zubimendi pada hari terakhir sebelum jendela perpindahan musim panas ditutup awal pagi semalam.
Chelsea terdesak untuk mendapatkan seorang pemain tengah untuk menggantikan Enzo Fernandez yang melengkapkan perpindahan ke Manchester City.
Pengurus Chelsea, Xabi Alonso, merupakan peminat tegar Zubimendi, 27, yang juga berasal dari kelab pembangunan pemain muda yang sama di San Sebastian.
Alonso pernah cuba mendapatkan Zubimendi dari Real Sociedad ketika beliau menjadi pengendali Real Madrid, namun pemain itu akhirnya memilih untuk menyertai Arsenal.
Zubimendi bukanlah pilihan utama di Emirates, tetapi dia telah dimaklumkan bahawa masih perlu memainkan peranan penting untuk musim ini, selain Arsenal juga tidak berminat untuk berbincang mengenai penjualannya.
Menjelang permulaan musim, Pengurus Arsenal, Mikel Arteta, menegaskan bahawa beliau tidak berminat untuk melepaskan Zubimendi selepas pemain tersebut memainkan peranan penting dalam kejayaan Arsenal menjuarai Liga Perdana Inggeris musim lalu.
“Zubi tanpa ragu-ragu merupakan salah seorang pemain terbaik Arsenal musim lalu.
Tanpa dia, kami tidak akan pernah berada dalam kedudukan yang kami capai dalam beberapa minggu terakhir dan dia layak menerima pujian yang sangat besar.
“Pada penghujung musim, dia tidak banyak bermain. Namun, tiada siapa boleh menafikan kepentingan apa yang telah kami lakukan dan betapa pentingnya dia kepada kami,” jelasnya. – AGENSI
The post EPL: Arsenal sekat pemain ke Chelsea appeared first on Kosmo Digital.




