Festival Novel Malaysia rai bakat penulis, K-Lit pemenang anugerah undian konsep novel

27 Sep 2026 • 2:16 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Festival Novel Malaysia rai bakat penulis, K-Lit pemenang anugerah undian konsep novel
Firdaus (dua dari kiri) bergambar bersama pemenang Anugerah Festival Novel 2026.
Image from: Festival Novel Malaysia rai bakat penulis, K-Lit pemenang anugerah undian konsep novel
Nor Azam Syah dan Alyaa Natasha

SHAH ALAM - Genre baharu Karangkraf Literature (K-Lit) dinobatkan sebagai pemenang anugerah undian konsep novel menerusi penganjuran Anugerah Festival Novel Malaysia 2026.

Pengarah Kreatif Grup Buku, Nor Azam Syah Razmi berkata, pengiktirafan yang diberikan itu dapat memberi semangat kepadanya untuk terus menghasilkan karya dan menambah baik K-Lit bagi keluaran akan datang.

“Alhamdulillah, terima kasih kepada juri dan peminat yang mengundi K-Lit. Insya-ALLAH kita akan sentiasa melakukan kejutan baharu dari segi jalan cerita dan elemen kulit buku.

“Dalam masa sama, menjadi harapan saya supaya K-Lit terus mendapat tempat dalam kalangan pembaca daripada pelbagai peringkat umur dan memberikan persaingan yang sihat kepada karya lain dalam industri novel tempatan,” katanya ketika ditemui pada Anugerah Festival Novel 2026.

Hadir sama, Pengerusi Karangkraf, Firdaus Hussamuddin. 

Sebanyak 11 anugerah diperkenalkan menerusi penganjuran berkenaan yang merangkumi tujuh anugerah khas dan empat anugerah berdasarkan undian awam.

Anugerah tersebut adalah novelis baharu berpotensi tinggi, novelis harapan, novelis versatil, novelis kreatif adaptasi dan komitmen terbaik.

Turut diperkenalkan anugerah novelis proaktif, novelis prolifik, reka bentuk kulit novel terbaik, novelis paling popular dan novel paling popular.

Tambah Nor Azam Syah, keistimewaan K-Lit ini terletak pada konsep kulit bukunya yang menggunakan warna pastel dan tidak menampilkan gambar individu.

**media[3660145]**

Jelasnya, ia bagi mengelakkan gambaran terlalu khusus terhadap watak.

“Cerita K-Lit pula sangat pelbagai, antaranya berkaitan kerjaya, masalah keluarga dan isu negara. Jadi, konsep kulit buku perlu menggambarkan keseluruhan cerita dan perkara itu agak mencabar untuk pereka grafik.

“Pereka perlu memahami isi kandungan novel terlebih dahulu sebelum menghasilkan reka bentuk kulit yang sesuai,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Program Anugerah Festival Novel Malaysia, Alyaa Natasha Ahmad Rosdi memberitahu, anugerah itu merupakan julung kalinya diadakan bagi meraikan bakat penulis novel khususnya mereka yang aktif menghasilkan karya secara konsisten.

Menurutnya, ia turut menjadi platform untuk menghimpunkan penulis dan penerbit daripada pelbagai latar dalam industri buku tempatan.

“Kita tahu di luar sana ada ramai penulis yang hebat. Jadi, kami mengambil inisiatif untuk memberi sedikit penghargaan kepada penulis supaya mereka berasa dihargai atas apa yang telah hasilkan.

"Kami sangat berpuas hati dengan sambutan yang diterima. Misalnya dari segi undian, sangat ramai mengambil penyertaan dalam tempoh sebulan ia dibuka.

"Oleh itu, saya berharap penulis akan terus menghasilkan bukan sahaja karya yang hebat, tetapi memberi kesan kepada pembaca dan mendorong mereka untuk terus mendekati karya tempatan," ulasnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved