
Oleh Ufairah Tarmidzi
KUALA LUMPUR, 19 MEI: Festival Pameran Budaya Dragon Boat 4.0 anjuran Pusat Latihan Kemahiran Elementé bukan sekadar mempamerkan keindahan tradisi kaum Cina, malah menjadi platform menyatukan rakyat pelbagai kaum melalui bahasa, seni dan budaya.
Penulis Khat Jawi, Zalina Ab Majid, 48, berkata minat yang mendalam terhadap seni kaligrafi Jawi itu mendorongnya untuk berkolaborasi bersama penulis kaligrafi Cina, Jason Tseng dalam memperkenalkan budaya Melayu kepada masyarakat Cina.

“Alhamdulillah, usaha yang saya lakukan dengan berkolaborasi dalam program seperti ini sejak tiga tahun lalu dengan membawa seni kaligrafi Jawi bertemu kaligrafi Cina mendapat sambutan menggalakkan.
“Masing-masing (kaum Melayu dan Cina) boleh menerima dan memahami antara satu sama lain melalui keunikan seni kaligrafi yang ditonjolkan sekali gus membuktikan seni boleh menyatukan kita,” katanya kepada Media Selangor.
Sementara itu, bagi Tutor Pendidikan Kunkwan, Preshantini Mathiyazhagan, 27, yang dibesarkan dengan pendidikan Cina sejak kecil mengakui penguasaan bahasa itu membantunya dalam membina hubungan erat antara kaum.

“Saya bersyukur kerana didedahkan dengan bahasa Mandarin sejak dibangku sekolah lagi oleh ibu bapa meskipun saya dari keluarga berbangsa India dan perkara ini secara tidak langsung memberi kelebihan kepada saya untuk bertutur dengan mudah.
“Saya juga percaya melalui program silang budaya ini ia dapat mengeratkan keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum di Malaysia,” tambahnya.
Pekerja swasta, Nurmas Intan Camellia Mohd Rohan, 25, pula memanfaatkan peluang dalam program silang budaya itu untuk bertutur menggunakan bahasa Mandarin yang dipelajarinya sejak dua tahun lalu bersama pengunjung lain.

“Saya mula belajar bertutur bahasa Mandarin sejak diploma yang pada mulanya dijadikan sebagai bahasa ketiga untuk melengkapkan subjek namun, dengan minat mendalam terhadap bahasa ini, saya teruskan di Pusat Pembelajaran Mandarin Antarabangsa Kunkwan.
“Saya turut menggalakkan lepasan sekolah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) belajar Mandarin sebagai bahasa ketiga untuk masa depan mereka khususnya di pasaran ASEAN,” katanya.


The post Festival pameran budaya satukan pelbagai kaum menerusi bahasa, seni appeared first on Selangorkini.



