
PUTRAJAYA, 14 SEPT: Festival Turath Islami Malaysia (FTIM) menyasarkan kehadiran lebih 100,000 pengunjung tahun ini susulan sambutan memberangsangkan terhadap program keilmuan Islam itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata lebih 5,000 jemaah hadir pada hari pertama penganjuran, sekali gus mencerminkan penerimaan positif masyarakat terhadap festival berkenaan.
"Alhamdulillah, hari ini (semalam) lebih 5,000 jemaah hadir mendengar tausiah dan taujihat. Kita juga menerima permintaan yang sangat banyak daripada pelbagai pihak.
"Jika sebelum ini di Selangor, keseluruhan kehadiran melebihi 50,000 orang. Pada tahun ini kita berharap jumlah kehadiran boleh mencecah lebih 100,000," katanya kepada media selepas merasmikan FTIM di Masjid Putra, di sini, malam tadi.

Menurutnya, festival itu turut menarik kehadiran jemaah dari seluruh negara serta negara jiran termasuk Singapura, Brunei dan Thailand.
Dr Zulkifli berkata kemudahan turut disediakan bagi menampung kehadiran jemaah sepanjang festival berlangsung termasuk menjadikan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin sebagai lokasi untuk pengunjung bermalam.
"Ini bermakna sememangnya sudah ada kesedaran dan minat umat Islam di Malaysia dan juga negara jiran untuk mengikuti kuliah pengajian turath ini," ujarnya.
Beliau menambah FTIM yang memasuki tahun keempat kini diperluas ke peringkat nasional selepas tiga tahun berturut-turut dianjurkan di Selangor.
Festival itu katanya mengetengahkan pengajian kitab turath dengan Kitab Al-Hikam dipilih sebagai karya utama tahun ini, selain Festival Buku Islami, pameran busana serta pelbagai program lain.
"Turath ini adalah tradisi dan warisan kita. Walaupun ia sudah lama, seperti Kitab Al-Hikam yang diajarkan sejak abad ke-17 di tanah air kita, ia terus relevan.
"Ia memberikan bimbingan dan kekuatan kepada umat Islam untuk menghayati, memahami ajaran Islam serta membentuk akhlak, fikrah dan adab," katanya.

FTIM 2026 bertemakan Hikmah Warisan Islam berlangsung dari 13 hingga 20 September dengan 42 acara, selepas penganjurannya dipindahkan dari Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam ke Masjid Putra, Putrajaya.
Festival berkenaan menampilkan 23 tokoh tempatan dan antarabangsa termasuk bekas Mufti Besar Mesir Syeikh Dr Ali Jum’ah serta ulama Maghribi Prof Dr Sayyid Idris al-Fasi al-Fihri.
Program berkenaan turut disiarkan secara langsung menerusi platform media sosial sepanjang penganjurannya.






