
PETALING JAYA – Selepas berjaya menawan Gunung Everest pada Mei lalu, pendaki Malaysia, Mohd. Khafiz Bachok kini memasang impian lebih besar untuk menakluk kesemua 14 puncak tertinggi dunia (14 Peaks).
Mohd. Khafiz atau lebih dikenali sebagai Kicok, 47, menyasarkan untuk melengkapkan misi berkenaan dalam tempoh dua tahun.
Menurut Kicok, kejayaan menawan Everest menjadi pencetus keyakinan untuk meneruskan misi yang jauh lebih mencabar itu.
“Insya-Allah, saya sangat yakin saya boleh melakukannya. Sekarang adalah masa untuk saya mendapatkan kepercayaan dan sokongan daripada pihak korporat serta seluruh rakyat Malaysia.
“Saya harap kita akan ada rakyat Malaysia pertama, atau pendaki pertama dari Asia Tenggara yang berjaya menawan 14 Peaks,” katanya ketika ditemui Kosmo! selepas tayangan khas dokumentari Tekad: Ekspedisi Guthrie Everest 2026 di sebuah pawagam di Subang Jaya, kelmarin.
Setakat ini, Kicok sudah menawan tiga daripada 14 puncak berkenaan dan masih berbaki 11 gunung untuk diselesaikan.
Kicok berkata, misi seterusnya adalah untuk mendaki Gunung Annapurna I di Nepal yang merupakan puncak ke-10 tertinggi dunia dengan ketinggian 8,091 meter.
Dalam pada itu, Kicok berkata, kejayaan pendaki Malaysia sebelum ini menjadi sumber inspirasi kepadanya untuk mengejar impian tersebut.
“Hero saya sentiasa rakyat Malaysia pertama yang mendaki Everest. Mereka memberi inspirasi kepada saya untuk mengejar impian ini. Semua mereka adalah hero saya,” katanya.
Di sebalik misi besar itu, Kicok mengakui setiap ekspedisi menuntut pengorbanan besar daripada dirinya dan keluarga.
Menurutnya, sokongan isteri dan adik-beradik menjadi antara kekuatan utama untuk dia meneruskan perjuangan. – KOSMO! ONLINE
The post Misi 14 puncak: Kicok sasar Annapurna I selepas ini appeared first on Kosmo Online.




