johardy30/04/2026 - 18:27 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 30 April - Sasbadi Holdings Bhd terus mengukuhkan kedudukannya dalam segmen penerbitan pendidikan apabila meraih satu lagi kontrak daripada Kementerian Pendidikan bagi kerja penyuntingan, percetakan dan pembekalan buku teks subjek vokasional untuk sekolah di bawah KPM bagi Tahun 2026 (Pakej 1) bernilai RM341,530.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata kontrak tersebut dijangka disiapkan pada suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2026.
“Sehubungan itu, kontrak ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan serta aset bersih Kumpulan Sasbadi bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2026 dan sepanjang tempoh kontrak,” katanya.
Sasbadi turut memaklumkan tiada risiko luar biasa dijangka di bawah kontrak tersebut selain risiko operasi biasa, dan langkah mitigasi akan dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi mengurangkan sebarang impak yang berpotensi.
Kontrak Besar
Kontrak terbaharu ini hadir susulan kejayaan kumpulan itu pada 13 April lalu apabila Sasbadi memperoleh kontrak lebih besar bernilai RM17.2 juta daripada KPM bagi penerbitan, percetakan dan pembekalan pakej buku teks di bawah kurikulum baharu sekolah 2027.
Kontrak tersebut dimeterai melalui anak syarikat milik penuh, Sasbadi Sdn Bhd (SSB), serta anak syarikat tidak langsung milik penuh, The Malaya Press Sdn Bhd, menerusi lima surat setuju terima daripada KPM.
Antara subjek yang diperoleh SSB ialah Geografi Tingkatan 1 bernilai RM7.5 juta dan Matematik Tahun 1 SJKC bernilai RM3.2 juta, manakala The Malaya Press pula melibatkan Bahasa Cina Tahun 1 SJKC (RM3.1 juta), Pendidikan Jasmani Tahun 1 SJKC (RM2.2 juta) serta Bahasa Cina Tingkatan 1 (RM1.3 juta).
Tempoh kontrak tersebut adalah dari 9 April 2026 hingga 8 April 2029, dengan penghantaran peringkat pertama bernilai RM13.7 juta dijadualkan bermula pada Ogos 2026 ke sekolah-sekolah di seluruh negara.
Sasbadi menjangkakan kontrak berkenaan akan terus menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2026 dan tahun-tahun seterusnya. - DagangNews.com






