liza04/05/2026 - 18:28 Kompleks Perindustrian Tanjung Langsat Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 4 Mei – Advancecon Holdings Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, Advancecon Infra Sdn. Bhd memperoleh kontrak daripada Johor Corporation (JCorp) bagi pelaksanaan kerja-kerja infrastruktur bernilai RM47.6 juta di Johor.
Kontrak tersebut melibatkan projek di Kawasan Perindustrian Tanjung Langsat dekat Pasir Gudang yang merupakan antara kawasan perindustrian utama di negeri Johor.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Advancecon berkata skop kerja merangkumi pembinaan kerja-kerja jalan raya, sistem perparitan, lampu jalan, landskap serta kerja-kerja infrastruktur berkaitan di beberapa jalan utama dalam kawasan industri tersebut.
“Antara laluan yang terlibat termasuk Jalan Teruntum 4, Jalan Teruntum 5, sebahagian Jalan Teruntum 1 dan sebahagian Jalan Rumbia 2.
“Projek berkenaan dijadualkan siap dalam tempoh 12 bulan, bermula 28 April 2026, selaras dengan keperluan pembangunan infrastruktur sokongan di kawasan industri itu,” kata Advancecon dalam makluman tersebut.
Menurut Advancecon, projek ini dijangka meningkatkan ketersambungan dalaman serta kecekapan operasi di Kawasan Perindustrian Tanjung Langsat yang akan menyokong pertumbuhan aktiviti perindustrian di Pasir Gudang.
Kontrak terbaharu ini juga merupakan projek ketiga syarikat itu di Johor pada tahun 2026, selepas kejayaan memperoleh projek Southern Catalyst Innovation District bernilai RM82.1 juta dan Southern Ibrahim Technopolis bernilai RM148.4 juta.
Pencapaian tersebut mengukuhkan lagi kedudukan Advancecon sebagai antara pemain utama dalam pembangunan infrastruktur di koridor perindustrian paling aktif di Malaysia, khususnya di Johor.
Pengurusan Advancecon berkata, hubungan berterusan dengan JCorp mencerminkan kepercayaan terhadap keupayaan pelaksanaan syarikat dalam menyediakan kerja-kerja infrastruktur yang berkualiti dan mengikut jadual.
Syarikat itu menegaskan komitmennya untuk terus memberi tumpuan kepada projek-projek infrastruktur dan pembangunan industri di kawasan pertumbuhan tinggi, selaras dengan peluang yang semakin berkembang di Johor, termasuk inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ). - DagangNews.com






