
KUALA LUMPUR - Semua peserta dan kru kapal yang dipintas tentera Israel ketika dalam pelayaran misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition X Thousand Madleens to Gaza (FFCxTMTGM) sebentar tadi perlu dibebaskan dengan segera kerana mereka tidak melakukan sebarang kesalahan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kesemua peserta perlu diberi perlindungan sewajarnya dan tidak diapa-apakan sepanjang tempoh tahanan.
Tegas beliau, tindakan Zionis itu jelas adalah satu provokasi yang mencabuli prinsip perundangan antarabangsa.
“Saya dimaklumkan bahawa kapal misi kemanusiaan FFCxTMTGM yang turut membawa rakyat Malaysia telah dipintas secara tidak sah di perairan antarabangsa oleh tentera Zionis Israel sekitar jam 10.50 pagi waktu Malaysia.
“Saya mengecam sekeras-kerasnya tindakan provokatif dan melanggar undang-undang antarabangsa ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Anwar memberi jaminan, kerajaan akan berusaha sedaya upaya melindungi setiap nyawa anak Malaysia yang terlibat dalam misi kemanusiaan ini.
“Kami akan berhubung dengan negara-negara rakan dan pertubuhan antarabangsa bagi memudah cara pembebasan mereka sesegera mungkin.
“Tindakan menahan kapal kemanusiaan yang membawa bantuan untuk rakyat Gaza adalah tidak berperikemanusiaan dan mencabuli prinsip asas hak asasi manusia serta maruah kemanusiaan sejagat,” katanya.
Misi FFCxTMTGM adalah lanjutan kepada Global Sumud Flotilla (GSF) yang digerakkan bagi memecah kepungan ke atas wilayah Gaza.
Misi membawa bantuan perubatan dan makanan itu disertai aktivis pelbagai negara, khususnya wartawan dan pakar perubatan.
Getaran masih menanti perkembangan terkini daripada Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) berhubung penahanan tersebut. - Getaran, 8 Oktober 2025

