hamden14/09/2026 - 16:25 KUALA LUMPUR 14 Sept - FGV Holdings Bhd, anak syarikat Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), melantik sebuah firma audit bebas bagi menjalankan audit forensik berhubung perkara tertentu yang melibatkan sebuah entiti mempunyai hubungan korporat dengan kumpulan berkenaan.
Felda dalam kenyataan pada Isnin berkata, proses pelantikan firma audit bebas turut dilaksanakan bagi beberapa anak syarikat lain.
Menurutnya, pelantikan itu dibuat selaras dengan syor Perdana Menteri, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jawatankuasa Khas Hala Tuju Felda 2030.
“Langkah ini dilaksanakan khusus bagi menambah baik tadbir urus Kumpulan Felda demi kelestarian agensi,” katanya.
Felda berkata, pihaknya akan terus meneliti keperluan untuk melantik firma audit bebas bagi menjalankan audit forensik secara profesional dan menyeluruh terhadap Felda serta semua organisasi di bawah Kumpulan Felda.
Untuk rekod, inisiatif audit forensik terhadap Felda telah dilaksanakan sejak 2019.
Felda sebelum ini melantik Ernst & Young (EY), dengan penemuan daripada laporan audit berkenaan dibentangkan di Parlimen menerusi Kertas Putih Felda pada 2020.
“Pelaksanaan audit terkini ini mencerminkan komitmen berterusan pihak pengurusan Kumpulan Felda untuk memperkukuh tadbir urus, akauntabiliti, ketelusan dan pematuhan di semua peringkat operasi.
“Felda kekal teguh dengan pendirian untuk memastikan kepentingan organisasi dan kesejahteraan peneroka sentiasa dilindungi dan dipelihara,” katanya. - BERNAMA






