Fiamma kekal berhati-hati prospek 2026 meskipun berlaku lonjakan prestasi pada 2025

Business & Finance
9 Jan 2026 • 3:05 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Fiamma kekal berhati-hati prospek 2026 meskipun berlaku lonjakan prestasi pada 2025 image is not available haziq09/01/2026 - 15:05 Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 9 Jan – Fiamma Holdings Bhd, pengedar utama peralatan rumah, sanitari, produk penjagaan kesihatan dan peranti perubatan, kekal berhati-hati bagi 2026 selepas mencatat pencapaian strategik yang kukuh sepanjang 2025.

 

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2025, kumpulan mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM62 juta, lebih tiga kali ganda berbanding RM18 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya, walaupun hasil merosot 5.2% tahun ke tahun kepada RM269 juta.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jimmy Tan Chee Wee berkata, prestasi tersebut didorong oleh pelaksanaan yang berdisiplin merentasi semua segmen perniagaan kumpulan.

 

“Segmen Perdagangan & Perkhidmatan menyumbang kira-kira 85% daripada hasil kumpulan, dengan keuntungan bertambah baik hasil campuran produk yang lebih baik serta disiplin operasi yang kukuh, walaupun berdepan kos yang lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menurut beliau, bagi tahun kewangan akan datang, Fiamma akan terus memberi tumpuan kepada pengukuhan perniagaan terasnya.

 

“Syarikat menyasarkan untuk memperkukuh penawaran peralatan rumah, mengembangkan pengedaran produk penjagaan kesihatan dan peranti perubatan, serta memanfaatkan sumbangan yang semakin baik daripada syarikat bersekutu dalam sektor hartanah,” katanya.

 

Bagaimanapun, Tan mengakui beberapa pelaburan strategik akan memberi tekanan kepada kos dalam jangka pendek.

 

“Pelaburan strategik termasuk pembinaan pejabat korporat baharu, naik taraf sistem ERP dan pembangunan perisian peralatan pintar akan meningkatkan perbelanjaan, namun pengurusan melihatnya sebagai keperluan penting untuk pertumbuhan jangka panjang serta asas pendapatan yang lebih pelbagai dan berdaya tahan,” katanya.

 

Beliau menegaskan strategi kumpulan kekal konsisten.

 

“Strategi syarikat jelas iaitu berkembang mengikut kemampuan, melabur dalam perniagaan teras dan membina asas pendapatan yang kukuh,” katanya sambil menyatakan keyakinan Fiamma berada pada landasan yang baik untuk mengekalkan prestasi mampan pada 2026. - DagangNews.com

Terkini standard