Prestasi FY26 Padini dijangka kekal positif disokong pengurangan SST, segmen margin tinggi & pengukuhan ringgit – TA Securities

LocalBusiness & Finance
8 Jan 2026 • 11:25 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Prestasi FY26 Padini dijangka kekal positif disokong pengurangan SST, segmen margin tinggi & pengukuhan ringgit – TA Securities image is not available liza08/01/2026 - 11:25 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 8 Jan – Padini Holdings Bhd dijangka terus mencatat prestasi memberangsangkan sepanjang FY2026, disokong oleh usaha berterusan syarikat dalam mengoptimumkan portfolio produk, fokus terhadap peningkatan kecekapan operasi, serta potensi sokongan daripada ringgit yang lebih kukuh dan pengurangan Cukai Jualan dan Perkhidmatan SST, menurut TA Securities.

 

Firma penyelidikan itu berkata langkah-langkah berkenaan dijangka dapat mengurangkan impak keseluruhan tekanan kos, sekali gus menyokong daya tahan pendapatan kumpulan itu.

 

“Jumlah jualan pada suku kedua dan ketiga dijangka kekal sihat, didorong oleh kuasa beli pengguna yang lebih tinggi serta permintaan bermusim sempena perayaan.

 

“Strategi promosi yang berdisiplin dan pelan pengembangan yang berhemah turut meletakkan Padini pada kedudukan kukuh untuk mengekalkan daya tahan pendapatan pada FY26,” kata firma tersebut dalam nota kajiannya.

 

Sehubungan itu, TA Securities mengekalkan saranan Beli terhadap Padini dengan harga sasaran tidak berubah pada RM2.40 sesaham, berbanding harga terakhir diniagakan pada RM1.82 sesaham.

 

Dari segi kos operasi, Perdana Menteri baru-baru ini mengumumkan kadar SST ke atas perkhidmatan sewaan dan pajakan akan dikurangkan kepada 6% daripada 8%. 

 

Pada masa sama, skop perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang layak mendapat pengecualian cukai diperluaskan kepada perniagaan dengan perolehan tahunan kurang daripada RM1.5 juta, berbanding had RM1.0 juta sebelum ini.

 

TA Securities percaya langkah ini dapat membantu mengurangkan kesan peningkatan kos operasi yang berpunca daripada perbelanjaan sewaan, buruh dan susut nilai. 

 

“Sehingga 1QFY26, pihak pengurusan memaklumkan impak SST berjumlah RM2.0 juta melibatkan semua cawangan. Bagi setahun penuh, kos tambahan dianggarkan sekitar RM8 juta hingga RM15 juta dalam FY26, bersamaan kira-kira 0.4% hingga 0.8% daripada jumlah perbelanjaan operasi FY26.

 

“Setakat FY25, Padini mengendalikan 149 cawangan domestik dengan bayaran pajakan tahunan berjumlah RM145.8 juta.

 

“Dari segi pengembangan, Padini merancang untuk mengubah suai 11 cawangan sedia ada dan membuka lima cawangan baharu dalam FY26. Sebagai perbandingan, kumpulan itu telah mengubah suai 16 kedai pada FY25,” katanya.

 

Dengan penambahan tersebut, jumlah keseluruhan cawangan Padini dijangka meningkat kepada 182 cawangan di peringkat global dalam FY26, berbanding 177 cawangan di dalam negara pada FY25, termasuk lokasi francais luar negara.

 

Firma penyelidikan itu turut memaklumkan bahawa jualan bagi setiap kedai lazimnya meningkat sekitar 3% secara purata selepas pembukaan semula. 

 

image is not available

 

“Kos bagi setiap cawangan dianggarkan antara RM3 juta hingga RM5 juta, bergantung kepada saiz. Oleh itu, perbelanjaan modal FY26 dianggarkan sekitar RM65 juta, termasuk kos pengubahsuaian, selaras dengan panduan pengurusan sebanyak RM50 juta hingga RM70 juta setahun.

 

“Sejajar dengan pelan pengembangan dan naik taraf cawangan, perbelanjaan susut nilai dijangka meningkat 9% tahun ke tahun kepada RM176.2 juta dalam FY26, memandangkan kos tersebut akan dipermodalkan sebagai aset kumpulan.

 

“Dari segi margin, Padini kekal berhati-hati untuk menaikkan harga dalam persekitaran runcit yang sensitif terhadap harga pengguna. Namun, nilai tawaran yang kukuh dan harga produk yang mampu milik dilihat penting bagi mengekalkan volum jualan,” katanya.

 

Prestasi Padini dalam FY26 dijangka terus disokong oleh sumbangan lebih tinggi daripada segmen bermargin lebih baik seperti pakaian sukan dan produk Harta Intelek (IP). 

 

Selain itu, penambahbaikan teknologi yang berterusan dijangka meningkatkan kecekapan operasi dan menyokong kestabilan margin.

 

Kumpulan itu juga akan meneruskan pendekatan berdisiplin dalam pengurusan inventori serta menambah baik campuran produk bagi menepati perubahan cita rasa pengguna. 

 

Langkah ini dijangka dapat mengurangkan risiko jualan perlahan dan mengehadkan keperluan diskaun besar bagi membersihkan inventori lebihan.

 

Pengukuhan berterusan ringgit turut berpotensi memberikan kelegaan kos tambahan pada separuh kedua FY26. 

 

Secara keseluruhan, TA Securities mengunjurkan margin keuntungan kasar Padini pada 39.2% bagi FY26, berbanding 39.9% pada 1QFY26, yang masih berada dalam julat sasaran pengurusan antara 36% hingga 40%.

 

Tiada perubahan dibuat terhadap unjuran pendapatan. Dari segi penilaian, harga sasaran RM2.40 sesaham adalah berdasarkan gandaan 12 kali pendapatan sesaham unjuran CY26. 

 

Saham Padini dilihat menawarkan penilaian menarik serta naratif pelaburan yang kukuh, disokong oleh inisiatif yang dijangka dapat mengekalkan jualan dan memelihara margin sepanjang FY26. - DagangNews.com

Terkini standard