FIFA sahkan Bergson, Tapp layak sarung jersi Harimau Malaya

14 Sep 2026 • 12:06 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: FIFA sahkan Bergson, Tapp layak sarung jersi Harimau Malaya
FIFA mengesahkan Bergson dan Tapp masing-masing layak mewakili skuad kebangsaan.

PERSEKUTUAN Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengesahkan dua pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) Bergson da Silva dan Brad Tapp masing-masing layak mewakili skuad kebangsaan.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pengesahan itu diterima selepas FIFA selesai meneliti status kelayakan kedua-dua pemain berkenaan berdasarkan peraturan dan peruntukan ditetapkan.

Bagaimanapun, status dua lagi pemain JDT, Manuel Hidalgo dan Shane Lowry masih dalam proses semakan dan pengesahan FIFA.

"FAM akan terus memberikan kerjasama dan mengemukakan segala maklumat serta dokumen yang diperlukan kepada FIFA berkaitan proses semakan berkenaan,” menurut kenyataan itu.

FAM memaklumkan sebarang perkembangan lanjut mengenai status Hidalgo dan Lowry akan diumumkan selepas menerima pengesahan rasmi daripada badan induk bola sepak dunia itu.

Bergson, 35, merupakan penyerang kelahiran Brazil yang menyertai JDT pada 2021 dan melengkapkan tempoh lima tahun berada di Malaysia pada Februari lepas sekali gus membuka laluan untuk proses naturalisasi bagi membolehkannya mewakili Harimau Malaya.

Tapp, 25, pula merupakan pemain pertahanan warisan kelahiran Sydney, Australia yang menyertai JDT daripada Central Coast Mariners, Julai lepas.

Pengesahan kelayakan Bergson dan Tapp memberi lebih banyak pilihan kepada barisan kejurulatihan negara kendalian Tan Cheng Hoe menjelang persiapan menghadapi edisi sulung Piala ASEAN FIFA di Jakarta hujung bulan ini. - Bernama 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved