
PETALING JAYA – Dua bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva dan Brad Tapp sudah pun mendapat ‘lampu hijau’ daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan boleh mewakili Harimau Malaya di pentas antarabangsa.
Perkara ini disahkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas badan induk itu mendapat pengesahkan rasmi daripada FIFA.
“FAM ingin memaklumkan bahawa FIFA telah mengesahkan dua pemain Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Bergson da Silva dan Brad Tapp layak untuk mewakili pasukan kebangsaan Malaysia.
“FAM menerima pengesahan tersebut selepas FIFA selesai membuat semakan terhadap status kelayakan kedua-dua pemain berkenaan berdasarkan peraturan dan peruntukan yang ditetapkan,” kata FAM.
Dalam pada itu, status dua lagi pemain JDT iaitu Manuel Hidalgo dan Shane Lowry masih dalam proses semakan serta pengesahan oleh FIFA dan FAM masih menunggu keputusan rasmi daripada badan induk bola sepak dunia tersebut.
“FAM akan terus memberikan kerjasama dan mengemukakan segala maklumat serta dokumen yang diperlukan kepada FIFA berkaitan proses semakan berkenaan.
“FAM akan memaklumkan sebarang perkembangan lanjut mengenai status Hidalgo dan Lowry selepas menerima pengesahan rasmi daripada FIFA,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post FIFA sahkan Bergson, Tapp layak wakili Malaysia appeared first on Kosmo Online.






