Fikir dulu sebelum bawa anak mendaki

SportsFamily & Parenting
9 Sep 2026 • 8:45 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Fikir dulu sebelum bawa anak mendaki

BUDAYA mendaki dalam kalangan masyarakat Malaysia dilihat semakin berkembang apabila aktiviti itu bukan lagi sekadar memenuhi masa lapang, sebaliknya menjadi pilihan untuk menikmati keindahan alam dan menjalani gaya hidup aktif.

Trend berkenaan turut menyaksikan ramai ibu bapa membawa anak-anak menyertai pendakian sejak usia kecil sebagai satu bentuk pendedahan kepada alam.

Namun begitu, kemampuan fizikal anak, pengalaman ibu bapa serta tahap kesukaran laluan perlu diberi perhatian bagi memastikan aktiviti berkenaan tidak bertukar menjadi situasi cemas.

Persoalan mengenai tahap kesesuaian kanak-kanak menyertai pendakian menjadi perhatian susulan insiden enam pendaki termasuk dua kanak-kanak berusia 13 dan sembilan tahun yang dilaporkan hilang ketika berada di Trans Gerah baru-baru ini.

Kesemua mereka sebenarnya tidak sesat, sebaliknya gagal dikesan selepas didapati tidak keluar dari kawasan hutan berdasarkan tarikh asal.

Insiden itu bagaimanapun mengundang persoalan orang ramai mengenai tindakan ibu bapa membawa anak mereka mendaki laluan yang dianggap mencabar dan berisiko.

Pengasas We Outdoor Lover (WOL), Noor Maizatul Hazra Yahaya berkata, antara perkara penting yang perlu dipertimbangkan ialah kemampuan dan stamina ibu bapa jika mahu membawa anak mendaki.

Menurutnya, ibu bapa juga perlu bersedia sekiranya anak keletihan dan tidak mampu meneruskan pendakian, terutama apabila kedua-dua ibu bapa turut keletihan.

“Jadi stamina ibu bapa perlu ada untuk pikul anak bila mereka tidak mampu teruskan pendakian,” katanya.

Beliau berkata, kemampuan anak bertahan dalam keadaan hutan yang mempunyai serangga seperti nyamuk dan agas selain cuaca panas juga perlu diambil kira.

“Kalau kali pertama bawa, anak sudah meragam, tak perlu bawa dah. Bermakna anak tak selesa,” katanya.

Noor Maizatul turut menegaskan ibu bapa perlu membuat kajian mengenai lokasi pendakian terlebih dahulu serta mendapatkan pandangan daripada mereka yang lebih berpengalaman.

“Kalau boleh pastikan hutan, bukit, gunung yang nak bawa anak itu adalah kawasan pendakian yang ibu bapa sendiri pernah pergi sebelum ini,” ujarnya.

Sementara itu, pendaki berpengalaman yang pernah menawan puncak tertinggi dunia, Mohd. Khafiz Bachok atau lebih mesra dikenali Khafiz Al Kicok berkata, pendedahan kepada aktiviti luar sejak usia muda adalah baik kerana aktiviti lasak mampu membina jati diri kanak-kanak.

“Aktiviti luar adalah sekolah terbaik untuk mendidik anak-anak kerana pendidikan bukan hanya di dalam kelas,” katanya.

Bagaimanapun katanya, beberapa perkara perlu dipertimbangkan termasuk keupayaan dan kesihatan kanak-kanak, pengalaman ibu bapa, jarak serta tempoh pendakian yang lebih pendek, muka bumi dan akses bantuan jika berlaku kecemasan.

“Anak mungkin kuat dan cergas untuk jarak pendek tapi otot mereka belum sesuai untuk ketahanan,” katanya.

Khafiz turut mencadangkan supaya pihak berkaitan mempertimbangkan peraturan pendakian mengikut umur, termasuk nisbah malim yang lebih kecil bagi pendakian bersama kanak-kanak.

“Saya cadangkan untuk mendaki bersama kanak-kanak perlu ada ratio (nisbah) malim lebih kecil uaitu satu malim untuk empat pendaki,” jelasnya.

The post Fikir dulu sebelum bawa anak mendaki appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved