“Trans GBB Yang Ke-8” – Pendaki Dedah Bawa Anak Daki Gunung Kerana Mahu Elak Ketagih Telefon Bimbit, Sudah 2 Tahun Hiking Bersama

Family & ParentingLifestyle
8 Sep 2026 • 6:12 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

“Trans GBB Yang Ke-8” – Pendaki Dedah Bawa Anak Daki Gunung Kerana Mahu Elak Ketagih Telefon Bimbit, Sudah 2 Tahun Hiking Bersama

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Semalam (7 September), kami ada melaporkan berita enam pendaki termasuk empat sekeluarga yang dikhuatiri hilang ketika membuat pendakian di Gunung Trans Gerah, Hutan Simpan Kekal Lojing, Gua Musang, Kelantan.

Apa yang menjadi perhatian adalah seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun dan remaja perempuan berusia 13 tahun merupakan antara individu yang turut terlibat selepas kedua-duanya mendaki bersama ibu bapa mereka serta dua malim gunung.

Namun, polis kemudiannya mendedahkan kesemua enam individu terbabit disahkan selamat.

Bapa Dedah Bawa Anak Teroka Gunung Kerana Mahu Elak Ketagihan Gajet

Terbaharu, pendaki Ekspedisi Trans Gerah (Trans GBB), Wan Ahmad Aslam Wan Zairudin mendedahkan keputusan membawa dua anaknya Diya Raisha, 13, dan Ahmad Raef, sembilan tahun untuk menyertai aktiviti pendakian gunung kerana mahu mengawal mereka dari terdedah dengan penggunaan telefon bimbit secara berlebihan.

Jelas Aslam yang berusia 39 tahun, idea itu tercetus setelah dia mencuba pelbagai cara bagi memastikan kedua-dua cahaya matanya itu tidak ketagih dengan gajet berkenaan.

“Punca, mereka mula ketagih dengan telefon bimbit. Jadi saya cari cara untuk elakkan mereka menggunakan telefon terlalu lama.

“Saya dah cuba macam-macam, saya dah cuba badminton, berenang tapi benda itu hanya satu ke dua jam je. Jadi saya cuba hiking.”

“Hiking ni setengah hari akan habis, jadi lepas itu daripada setengah hari kita buat empat hari, lima hari, enam hari dan paling lama kita buat sebelum ini lapan hari. Jadi ini paling panjang.” katanya yang dipetik dari Berita Harian.

Anak-Anak Mula Aktif Daki Gunung Sejak 2 Tahun Lalu, Trans GBB Adalah Trans Ke-8

Jelas Aslam yang merupakan seorang jurutera awam, anak-anaknya mula aktif mendaki gunung sejak dua tahun lalu.

“Saya bawa mereka sejak dalam stroller tapi mereka betul-betul aktif sejak dua tahun lalu.

“Seingat saya ini adalah trans ke-8 kami sekeluarga. Berdasarkan pengalaman saya, secara fizikal kanak-kanak lebih kental berbanding kita, kita cuma perlu kawal mental mereka, pastikan mereka gembira dan enjoy dengan perjalanan ini,” kongsinya.

Lelaki Jelas Tidak Sesat, Ambil Masa Lama Kerana Halangan Yang Dihadapi Ketika Perjalanan

Berkongsi kisah mengenai ekspedisi terbabit, Aslam menjelaskan bahawa mereka sebenarnya tidak sesat.

Sebaliknya, mereka terpaksa mengambil masa lebih lama dek kerana terdapat beberapa halangan ketika dalam perjalanan.

“Sebenarnya dalam hutan kami terkawal. Kami tahu di mana kami, kami tahu makanan kami dan kami tahu kami tidak cedera.

“Kami tidak sesat pun sebenarnya. Cuma kami risau keluarga akan buat laporan kepada polis dan benda ini akan terjadi,” katanya.

Tambah Aslam, perjalanan mereka menjadi lebih perlahan dari jangkaan awal apabila hanya mampu bergerak sekitar dua hingga tiga kilometer sehari sedangkan sasaran asal adalah lapan hingga 10 kilometer.

Keadaan itu menyebabkan mereka berbincang terlebih dahulu sama ada mahu berpatah balik atau meneruskan perjalanan sebelum memutuskan untuk mencari punca air dan memotong laluan trek asal.

Bekalan Makanan Masih Cukup Sehingga Hari Ke-10

Kongsi Aslam lagi, bekalan makanan mereka masih lagi mencukupi sehingga hari ke-10 meskipun tempoh perjalanan melepasi jadual asal.

“Saya boleh kata sampai hari ke-10 kami masih ada makanan lagi. Malim juga kalau tahu saya bawa anak, mereka sendiri akan bawa bekalan tambahan untuk kami sekeluarga.

“Pada hari terakhir saya masih ada Power Gel, Hydro Gel dan ORS, manakala beras semua masih ada,” ujarnya.

Terdahulu, media melaporkan Aslam dan tiga lagi ahli keluarganya serta dua malim gunung dikhuatiri hilang selepas kesemua mereka gagal keluar mengikut jadual di Pos Kemar, Gerik, Perak pada 3 September lalu.

Walau bagaimanapun, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon menjelaskan laluan hutan yang sukar dan sudah lama tidak digunakan menjadi antara faktor peserta ekspedisi tersebut lewat tiba di Pos Kemar.

Baca Artikel Berkaitan: Kes 6 Pendaki Termasuk 4 Sekeluarga Hilang Di Gunung Trans Gerah: Polis Sahkan Kesemua Mangsa Selamat

Baca Artikel Berkaitan: Kes 6 Pendaki Termasuk 4 Sekeluarga Hilang, 2 Malim Gunung Iringi Pendakian Ada Pengalaman Lebih 20 Tahun

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved