
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Harus diakui, media sosial sememangnya memberi pengaruh besar dalam kehidupan seharian.
Manakan tidak, itulah platform yang menjadi pusat maklumat, penghubung sesama insan serta hiburan bagi kebanyakan individu.
Malah, boleh dikatakan setiap hari ada sahaja trend terbaharu yang sering menjadi ikutan khususnya golongan muda masa kini.
Namun, tidak semua trend bersesuaian untuk dijadikan ikutan apatah lagi ada yang dilihat bertentangan dengan amalan agama.
Baca Artikel Berkaitan: “Jangan Biasakan” – Ustazah Asma’ Tegur Kaum Wanita Ikut Trend Joget Sebelum Terima Duit Raya
PU Riz Beri Teguran, Mahu Orang Ramai Berhati-Hati Pilih Trend Jadi Ikutan
Terbaharu, pendakwah bebas Haris Ismail atau juga dikenali sebagai PU Riz tampil menasihatkan orang ramai terutamanya umat Islam agar berhati-hati memilih serta mengikuti trend terkini di media sosial.
PU Riz atau nama sebenarnya Muhammad Haris Mohd Ismail menjelaskan ia penting agar tidak bercanggah dengan syariat agama.
Dia yang juga merupakan suami kepada selebriti terkenal, Neelofa membuat teguran khususnya trend “Aku berlutut? Tidak Akan!” yang sedang menjadi ikutan pada masa kini dalam satu hantaran di Instagram miliknya.
Difahamkan, trend itu diambil daripada watak Alucard yang terdapat dalam permainan online, Mobile Legend.
Buat Lawak Perlu Ada Parameter Untuk Dijadikan Panduan
Kongsi PU Riz lagi, trend itu dilihat semakin menjadi ikutan di mana ada anak yang membuat kepada ibu bapa serta isteri yang melakukannya kepada suami.
Dia berpendapat setiap lawak perlu ada kawalan yang perlu dijadikan panduan.
“Kita kalau nak buat lawak, dia kena ada parameter dia. Dekat mana boleh, dekat mana tak boleh.
“Demikian la juga dalam kehidupan ini, dekat mana betul, dekat mana yang salah.
“Kalau kita nak buat ikut suka hati kita, kita bagitahu kawan-kawan ‘eh chillah, rileks, janganlah serius sangat’, chill dia kata. Kita ‘chill’ dengan perkara yang dibenarkan.
“Kita tidak boleh chill dan tidak boleh bawa bergurau dengan perkara yang dilarang,” katanya.

Turut Bagi Contoh Hadis Tentang Kedudukan Ibu Bapa & Suami
Menerusi perkongsian itu juga, PU Riz turut memberi contoh sedutan hadis tentang kedudukan ibu bapa dan suami bagi menggambarkan bahawa trend tersebut tidak sesuai untuk dijadikan ikutan.
Baginya, trend sebegitu telah melanggari apa yang agama Islam sarankan selama ini.
“Kita dok buat lawak, kita kata itu trend sahaja, apa kaitannya? Bila buat lawak dan trend macam itu, ia sudah melanggari apa yang agama telah sarankan.
“Oleh sebab itu, apa-apa yang kita buat, check dulu, tanya dan fikir dulu sebelum buat,” katanya lagi.

Nasihat Orang Ramai Perlu Bijak Dalam Mengikut Trend
Tambah PU Riz lagi, orang ramai perlu bijak dalam memilih trend khususnya trend yang lebih positif bagi memastikan diri berada di landasan agama.
Malah, dia juga menyarankan agar orang ramai menghidupkan lebih banyak trend positif agar menjadi ikutan yang lain.
“Saya pesan ini bukan untuk jadi ustaz atau pendakwah, kita sebagai hamba Allah SWT perlu hidup dengan kadar bagaimana Dia mahu kita hidup.
“Pilih trend yang baik, hidupkan perkara bagus dan jaga amalan kita semoga Allah berkati kita dalam hidup,” katanya lagi.
Terdahulu, tular di TikTok trend menggunakan dialog ‘Aku berlutut? Tidak akan!’ ketika sesi bermaaf-maafan sempena Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.
Menerusi perkongsian oleh beberapa pengguna, trend itu memperlihatkan beberapa individu berseloroh menolak untuk berlutut bersalaman dan meminta maaf kepada ahli keluarga.
Namun, ia mendapat perhatian ramai kerana didakwa bersifat tidak beradab apabila dilakukan oleh golongan muda terhadap individu yang berusia serta melawan tradisi hari raya.

Baca Artikel Berkaitan: Ramai Buka Aib Sendiri, Wanita Pesan Hati-hati Jika Join Trend Di TikTok [Video]
Baca Artikel Berkaitan: “Dengar Pun Dah Malu” – Wanita Ikut Trend Tarian ‘Sesak Nafas’ Di TikTok Raih Kecaman [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Dikecam Seolah Berkira, PU Riz Perjelas Maksud Ayat ‘Tak Akan Saya Pula Nak Angkat Beras’
Source:





