
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Tragedi kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights semalam (1 April) nyata mendapat perhatian ramai termasuklah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Manakan tidak, api yang tercetus dalam insiden tersebut dianggarkan menjulang lebih 30 meter sehingga ke udara dengan suhu mencecah hampir 1,000 darjah Celsius dalam insiden yang berlaku kira-kira jam 8.10 pagi.
Namun, kebakaran tersebut berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira jam 3.45 petang manakala seramai 305 mangsa turut berjaya diselamatkan sehingga jam 5 petang semalam.
Pun begitu, timbul pula dakwaan mengatakan terdapat kerja mengorek tanah dilakukan berhampiran lokasi kejadian yang dikatakan menjadi punca kepada insiden tersebut.
Polis bagaimanapun menjelaskan pihaknya bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Petronas akan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian termasuklah dakwaan yang tular.
Baca Artikel Berkaitan: Polis Siasat Dakwaan Kerja Korek Tanah Sebabkan Kebakaran Saluran Paip Gas Putra Heights
Datuk Bandar Subang Jaya Sahkan Projek Pembinaan Ada Kelulusan
Terbaharu, projek pembangunan yang sedang dijalankan berhampiran lokasi kebakaran saluran paip gas bawah tanah tersebut disahkan mempunyai kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menurut Datuk Bandar Subang Jaya, Datuk Amirul Azizan Abd Rahim, projek tersebut tidak berada dalam kawasan Rizab Laluan (ROW) Petronas serta diberi kelulusan dan kebenaran merancang sejak tahun 2022.
“Projek itu melalui proses kelulusan yang sewajarnya, termasuk mendapatkan kebenaran daripada pihak Petronas untuk menggunakan ROW bagi laluan Indah Water Konsortium (IWK).
“Selain itu, kontraktor yang terbabit juga antara panel yang diluluskan oleh IWK dan Petronas,” katanya yang dipetik daripada Berita Harian.
Enggan Beri Respon Rasmi Memandangkan Insiden Masih Dalam Siasatan
Namun, ketika diminta mengulas dakwaan yang tersebar mengenai projek pembinaan tersebut, Amirul Azizan menjelaskan pihaknya tidak akan memberi respon rasmi memandangkan siasatan terperinci sedang dijalankan oleh polis, Petronas dan pihak berkuasa yang lain.
“Buat masa ini, apa yang tersebar di media sosial bukanlah kenyataan rasmi. Kita perlu menunggu hasil siasatan untuk mengetahui punca sebenar kebakaran dan letupan tersebut,” ujarnya.
Projek Alami Kelewatan, Patut Siap Tahun Lepas
Pada masa yang sama, Amirul Azizan mengakui projek tersebut mengalami sedikit kelewatan kerana masih dalam proses mendapatkan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) memandangkan ia sepatutnya siap pada Disember 2024.
“Saya tidak pasti punca sebenar kelewatan ini kerana ia di luar bidang kuasa saya. Mungkin membabitkan faktor kewangan atau lain-lain, tetapi apa yang pasti semua kelulusan diperoleh mengikut prosedur yang ditetapkan.
“Projek itu mematuhi segala syarat-syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa,” katanya.
Terdahulu, Petronas mengesahkan pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung kebakaran yang berlaku di saluran paip utama Petronas Gas Berhad (PGB).
Petronas menerusi satu kenyataan berkata saluran paip yang terjejas telah diasingkan dan semua pihak berkepentingan yang relevan telah dimaklumkan mengenai insiden itu.
Tindakan pantas Petronas menutup empat injap utama saluran paip gas yang terletak di Dengkil, Puchong, Batu Tiga, Shah Alam dan Meru, Klang juga berjaya mengurangkan tekanan gas sekaligus mengawal dan kebakaran.
Baca Artikel Berkaitan:
Source:





