Fiksyen vs Bukan Fiksyen; Mana Pilihan Terbaik?

Opinion
10 Aug 2024 • 12:00 PM MYT
Sue Oshin
Sue Oshin

Seorang surirumah, penulis dan penterjemah yang telah terbit naskhahnya,

Image from: Fiksyen vs Bukan Fiksyen; Mana Pilihan Terbaik?
Foto oleh Sue Oshin

Saban tahun, pasti banyak buku-buku baharu yang diterbitkan oleh pelbagai rumah penerbitan. Saban tahun juga, pembaca yang suka membaca juga semakin ramai, bermula dengan buku-buku yang popular dalam kalangan ulat buku, buku-buku yang disarankan oleh rakan-rakan, buku-buku yang memenuhi citarasa pembaca dan sebagainya. Pokoknya, industri buku di Malaysia semakin berkembang maju begitu juga dengan budaya membaca yang tak pupus dek majunya teknologi masa kini.

Sama ada bahan bacaan fiksyen atau bukan fiksyen, masing-masing memiliki manfaatnya bahkan juga peminat yang tersendiri. Mengikut kajian pemerhatian berdasarkan ulasan-ulasan buku dari pembaca, faktor umur juga mempengaruhi jenis bahan bacaan seseorang. Pembaca awal remaja dan juga awal dewasa lebih cenderung memilih genre fiksyen manakala pembaca yang sedikit berusia atau pertengahan usia dewasa lebih sukakan genre bukan fiksyen. Selain faktor usia, jantina juga turut mempengaruhi jenis bahan bacaan seseorang seperti genre bukan fiksyen menjadi pilihan pembaca lelaki manakala genre fiksyen pula menjadi pilihan pembaca wanita. Mengapa begitu?

Aiman Psikologi yang aktif dengan perkongsian mengenai kajian minda dan tingkahlaku manusia pernah berkongsi tentang cara lelaki dan perempuan berfikir. Berikut adalah berdasarkan kajian beliau:

  • Daya tumpuan lelaki lebih tinggi, maka mereka boleh fokus ketika membaca segala fakta, hujah, dapatan, kefahaman, pandangan yang menyeluruh dan lain-lain di dalam buku bergenre bukan fiksyen. Mereka lebih fokus untuk tahu pendapat, berfikir secara mendalam dan menyeluruh bahkan akan mencari solusi yang rasional dan tidak beremosi sewaktu membaca bahan bacaan berat. Tidak hairanlah jika lelaki lebih hebat membaca peta berbanding perempuan.

Fokus perempuan pula lebih kepada pandangan spesifik, luahan, emosi, empati dan simpati, banyak fikirkan tentang perkara-perkara yang tidak ditulis atau dinyatakan di dalam buku (banyak ‘what if’ dan ‘unrelated conclusion’). Tidak hairanlah jika pembaca bergenre fiksyen kebanyakannya adalah perempuan.

Sama ada fiksyen atau bukan fiksyen, masing-masing ada kelebihan tersendiri dan tidak ada satu pun kekurangan di antara keduanya. Bukankah buku itu ditulis untuk memandaikan bangsa tidak kira kategori apa yang ia diterbitkan (kecuali bahan bacaan yang terang-terangan mempromosikan lucah).

Kebaikan membaca fiksyen adalah seperti berikut:

  • Fiksyen merupakan sebuah karya yang mempunyai keunikannya yang tersendiri. Ia membuatkan pembaca untuk berfikir di manakah rasionalnya setiap tindakan dan perbuatan dalam setiap plot, mengenalpasti pelbagai ragam manusia dalam dunia fiksyen, memahami perspektif yang ingin disampaikan oleh penulis, dan memahami emosi dan dilema seseorang dalam sesuatu situasi.
  • Tidak dinafikan, membaca fiksyen banyak mematangkan fikiran. Buat para introvert yang lebih suka ‘circle’ kecil, sekurangnya ia dapat memberikan pandangan yang luas kepada mereka bagaimana dunia ini bersandiwara dengan pelbagai jenis ragam manusia. Maka, sebab itulah ‘circle’ yang kecil cukup membuatkan mereka bahagia dan kurang disakiti. Sebaliknya, buat para extrovert ia akan membuatkan kita lebih waspada bahawa di dalam dunia ini kebanyakan manusia yang kita kenal, pasti ada topeng yang mereka bawa bersama. Bagi pembaca awal remaja, ia juga sesuatu yang baik untuk mereka sebagai persediaan untuk melangkah ke dunia yang penuh cabaran. Dengan pelbagai variasi dari cerita-cerita bergenre fiksyen inilah akan banyak membuka mata dan minda tentang sekeliling yang kita sendiri tidak pernah tahu ia wujud.
  • Sesetengah penulis lebih terbuka untuk berkongsi pengalaman sendiri dalam karya fiksyen mereka. Jadi, sebagai pembaca kita boleh mempelajari, menghayati, bahkan ambil iktibar dari pengalaman sesetengah orang. Ini akan membuatkan kita lebih kuat untuk memahami jerih payah dan pahit maung pengalaman orang lain dan juga diri sendiri. Maka dengan ini, tidaklah kita akan merasa pengalaman sendiri sahaja yang cukup hebat diuji dan kita saja yang ‘special’ kerana diuji sedemikian.
  • Membaca fiksyen juga membuatkan kita menjadi lebih baik dari pelbagai aspek. Kita akan menjadi lebih empati bahkan perspektif kita pada sesetengah perkara yang dahulunya dianggap enteng, kini berubah menjadi lebih rasioanal dan menyeluruh dalam menilai.
  • Fiksyen bukanlah sekadar dunia penceritaan berdasarkan pengalaman dan ‘slice of life’ semata-mata, fiksyen juga banyak mengajar kita tentang sesuatu yang baharu. Sebagai contoh jika kita seorang surirumah, sekurangnya kita boleh mendapat sesuatu dari watak tersebut seperti kehidupan seorang buruh kasar, kerjaya profesional yang dilalui oleh mereka, hidupnya seorang gelandangan, watak yang memegang peranan sebagai remaja yang tertekan dengan hidup ‘peer pressure’ dan sebagainya.
  • Fiksyen fantasi pula membawa kita berfikir diluar kotak dan dimensi yang berlainan. Karya fiksyen fantasi tidaklah ditulis semata-mata tentang dunia fantasi sahaja, ia pasti akan diselitkan dengan pelbagai nilai moral seperti semangat setia kawan dalam sesuatu pengembaraan, nilai kekeluargaan ketika si ahli sihir ingin merampas kerajaan wonderland dan sebagainya. Jadi, jangan pandang enteng pada karya-karya sebegini jika belum cuba membacanya.

Kebaikan membaca bukan fiksyen adalah seperti berikut:

  • Bukan fiksyen banyak memberikan kita pengetahuan di luar bidang yang menjadi kebiasaan. Contohnya tentang aspek bagaimana mahu mengurus kewangan, kesihatan yang baik dengan pemakanan dan rutin harian yang sihat, bahaya dadah dan pengamalan minum ketum dan pelbagai fakta yang kita sendiri tidak pernah tahu dan terjangkau dek akal.
  • Jika kita menghadapi kesukaran dalam hidup untuk berubah menjadi lebih baik, maka bukan fiksyen satu-satunya karya yang boleh dirujuk. Contohnya tabiat yang dilakukan oleh orang berjaya untuk berjaya, informasi tentang kepelbagaian rutin harian yang akan mengubah hidup menjadi lebih baik, tabiat yang perlu dilakukan oleh seorang pelajar untuk skor dalam peperiksaan dan sebagainya.
  • Bukan fiksyen ibarat sebiji pil yang memberikan kita cara berfikir dengan menyeluruh tentang sesuatu fakta, teori dan pendapat. Dari sini, otak kita akan bekerja keras untuk memahami dengan mencatit nota penting dan membuat ulasan ringkas mengenai perkara yang ingin kita fokus untuk mengetahuinya.

Kesimpulannya, buatlah pilihan untuk membaca apa sahaja yang kita rasa selesa, bukannya mengikut kata orang. Bacalah sesuatu yang membuatkan kita berada di tempatnya dan membuatkan kita rasa perasaan yang sama tentang apa yang disampaikan penulis bahkan sesuatu usaha yang ingin kita capai dan target. Fiksyen atau bukan fiksyen, keduanya mampu menjadikan kita manusia yang baik dan kita akan sedar; semakin banyak membaca, semakin banyak yang kita tidak tahu bukanlah semakin banyak membaca, semakin banyak kita lebih tahu dari orang lain malah lebih bijak. Jangan pandang sebelah mata tentang pemilihan bahan bacaan seseorang kerana kita tidak tahu apa sisi baik yang ada di dalam buku tersebut. Pendek kata, ‘dont judge a book by its cover.’


Sue Oshin adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi Newswav.