
PETALING JAYA: Muncul di layar perak buat pertama kali, penyanyi yang kini bergelar pelakon, Zaki Yamani memaklumkan dirinya terbuka untuk menerima sebarang tawaran lakonan selepas berjaya menonjolkan bakatnya menerusi filem, Tiket Sehala.
Menurut Zaki, dia tidak akan menolak sebarang tawaran, malah tidak akan memilih skrip demi merealisasikan keinginannya untuk menjadi seorang anak seni yang versatil.
“Tiket Sehala adalah filem lakonan saya yang pertama. Meskipun babak saya tidak banyak, saya rasa saya perlu mencuba sesuatu yang baharu. Sebagai pendatang baharu dalam industri, saya juga memang minat berlakon.
“Saya suka berangan dan imaginasi itu sebenarnya berkait dengan minat saya dalam nyanyian serta lakonan. Kalau ada tawaran selepas ini, saya tidak akan menolak.
“Saya juga tidak memilih skrip, cuma saya akan lihat sama ada ia sesuai dengan jadual saya. Kalau bertembung dengan komitmen nyanyian, mungkin saya tidak dapat terima. Kalau tidak bertembung, Insya-Allah saya okey,” katanya.
Ditanya sama ada fokusnya hanya mahu menembusi pasaran perfileman tempatan sahaja, anak kepada penyanyi lagenda, Datuk Jamal Abdillah itu juga terbuka untuk terlibat dalam naskhah berbentuk drama.
“Filem atau drama, saya terbuka untuk kedua-duanya dan tidak memilih sebab apabila kita minat sesuatu, kita tidak akan terlalu memilih. Cuma janganlah bagi saya watak yang pelik seperti watak songsang.
“Itu saya tidak bersedia lagi untuk melakonkan watak sebegitu dan perlu fikir banyak kali sebelum menerima tawaran. Tetapi kalau watak seperti pelajar, budak nakal atau watak-watak biasa, saya boleh terima,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Zaki yang memegang watak sebagai Boy bakal muncul menerusi filem Tiket Sehala yang akan ditayangkan di pawagam pada 6 Ogos ini.
Filem arahan Rahila Ali itu mengisahkan sekumpulan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan ketika mencari rezeki di Korea Selatan.
Selain Zaki, filem itu turut dibintangi oleh Noki K-Clique, Jaa Suzuran, Sharifah Sakinah, Sheila Mambo, Ardell Aryana, Hasnul Rahmat, Ainee Mustafa dan Saha Champ, selain menampilkan barisan pelakon antarabangsa dari Korea Selatan, Thailand dan Indonesia.
The post Filem atau drama, saya terbuka untuk kedua-duanya dan tidak memilih – Zaki Yamani appeared first on Utusan Malaysia.






