
PETALING JAYA – Selepas percubaan pertama gagal, pelawak juga pelakon Achey kembali menaruh harapan untuk menimang cahaya mata apabila isterinya, Nor Hasanah Yahaya, menjalani proses persenyawaan in-vitro (IVF) buat kali kedua.
Achey atau nama sebenarnya Mohd. Nasir Hamzah, 40, berkata, keputusan meneruskan rawatan berkenaan dibuat selepas anak angkat mereka, Tiara, 8, menyatakan keinginan untuk mempunyai adik sebagai peneman.
Menurutnya, dia dan isteri merasakan Tiara kini sudah bersedia menerima kehadiran anggota baharu dalam keluarga, selain faktor usia yang membuatkan mereka memilih waktu ini sebagai peluang terbaik.
“Ini kali kedua kami menjalani IVF. Percubaan pertama dilakukan selepas fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi tidak berjaya. Apa pun kami reda.
“Kami juga nak Tiara dapat kasih sayang yang cukup dan sampai satu tahap dia sendiri minta adik. Jadi kami rasa dia sudah bersedia.
“Saya pun sudah 40 tahun, isteri pula 30 lebih,” katanya ketika sesi fotografi filem lakonannya, Keranda Tan Sri Terbang.
Bagaimanapun, Achey mengakui proses IVF kali kedua ini lebih terperinci apabila mereka perlu melalui beberapa peringkat termasuk pemeriksaan DNA dan sel.
Katanya, doktor yang mengendalikan rawatan tersebut turut menasihati mereka agar jangan tidak terlalu memikirkan keputusan akhir kerana soal rezeki tetap di tangan Allah SWT.
“Proses kali kedua ini lebih mendalam. Doktor pun pesan jangan terlalu berfikir sangat. Teknologi tetap teknologi, tetapi kalau Allah tidak izinkan, tidak dapat juga.
“Kami juga tidak mahu tahu jantina bayi. Dapat lelaki atau perempuan, kami terima sahaja sebagai rezeki,” ujarnya.
Pada masa sama, Achey berkata, isterinya kini perlu menjalani tempoh rehat di rumah sekitar tiga bulan bagi memastikan proses implantasi berjalan dengan lancar.
“Doktor beri tempoh yang agak panjang, hampir tiga bulan untuk memastikan semuanya benar-benar lekat.
“Dalam tempoh itu memang kena banyak berehat. Kerja ringan masih boleh dibuat, tetapi tidak boleh terlalu lasak,” katanya.
Mengulas keadaan mental isterinya, Achey berkata, pengalaman melalui kegagalan IVF sebelum ini menjadikan mereka lebih bersedia untuk berdepan dengan sebarang kemungkinan.
Achey turut mengakui kos rawatan IVF yang dilalui mereka bukan sedikit, namun dia dan isteri sudah membuat persediaan kewangan lebih awal.
Katanya, mereka enggan terburu-buru melakukan rawatan berulang kali kerana boleh memberi tekanan kepada kewangan keluarga.
“Kami sudah kumpul duit sebab kalau dalam masa terdekat buat lagi dan lagi, ia boleh mengganggu kewangan kelurga. Jadi kali kedua ini kami sudah bersedia,” ulasnya.
Bagaimanapun, andai percubaan kali kedua itu masih belum membuahkan hasil, Achey tidak menolak kemungkinan mereka memilih untuk mengambil anak angkat.
“Kalau ini yang terakhir dan tidak menjadi, mungkin kami akan ambil anak angkat seperti mana kami ambil Tiara dahulu,” katanya.
Pasangan yang mendirikan rumah tangga pada 2011 mengambil Tiara sebagai anak angkat pada 2018 dan empat tahun kemudian mereka menjalani rawatan IVF bagi mendapatkan zuriat, namun tidak berjaya.
Sementara itu, mengenai Keranda Tan Sri Terbang, katanya naskhaf arahan Waan Hafiz itu bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara sekitar akhir tahun ini.
Naskhah genre komedi itu turut membariskan Shashic, Namie, Joey Daud, Norish Karman, Namron, Pablo Amirul, Watie Sadali, Amy Nur Tinie, Scha Ellinea, Sandra Lim serta Taqim Zaki. – KOSMO! ONLINE
The post Atas permintaan anak, Achey, isteri ikhtiar IVF lagi appeared first on Kosmo Online.





