liza23/12/2025 - 15:07 KUALA LUMPUR 23 Dis – Persekutuan Pengurus Pelaburan Malaysia (FIMM) menegur lima bekas perunding skim amanah saham (UTS) atas salah laku/perlanggaran peraturan terkumpul FIMM.
Dalam satu kenyataan, FIMM memaklumkan perunding terbabit ialah Cheu Kar Wai, Muhamad Khairulanuar Yusoof, Krisnan Kanniappen, Fadli Adha Abu Bakar dan Muhammad Afif Ajmal Safaruan.
“Teguran awam ini dikenakan bagi menghantar mesej yang jelas bahawa FIMM akan mengambil tindakan terhadap mereka yang gagal mematuhi mana-mana peraturan yang dikeluarkan oleh FIMM.
“Ini bertujuan untuk menghalang perunding UTS dan/atau skim persaraan swasta (PRS) daripada melakukan salah laku serta mengingatkan mereka bahawa adalah penting untuk mematuhi peraturan FIMM ketika memasarkan dan mengedarkan UTS dan/atau PRS di Malaysia bagi melindungi kepentingan orang awam yang melabur,” kata FIMM.
Perunding UTS Public Mutual Bhd, Cheu dan Muhamad Khairulanuar, ditegur kerana mengemukakan sijil akademik palsu dalam permohonan mereka ketika mendaftar sebagai perunding UTS dengan pengedar.
Krisnan pula ditegur kerana memalsukan tandatangan tiga pelabur pada dokumen pelaburan Public Mutual.
Selain itu, Fadli Adha ditegur kerana menerima dan menyalahgunakan RM5,500 serta menyediakan dokumen palsu kepada pelabur.
Kedua-duanya merupakan perunding UTS Public Mutual Bhd pada waktu kejadian.
Muhammad Afif Ajmal, juga perunding UTS Public Mutual Bhd pada waktu kejadian dan kemudian berkhidmat di Kenanga Investors Bhd, ditegur kerana meminta seorang pelabur untuk menandatangani dan/atau mencap jari dokumen pelaburan terlebih dahulu dan menyerahkannya tanpa kebenaran pelabur, melibatkan jumlah pelaburan sebanyak RM162,000.
Beliau juga memalsukan dokumen untuk memohon pembiayaan, pinjaman dan/atau kemudahan kredit.
FIMM mengesan salah laku Cheu, manakala pengedar semasa atau bekas pengedar mengesan salah laku Krisnan, Fadli dan Afif.
Seorang pelabur pula memaklumkan salah laku Khairulanuar, menurut kenyataan itu. -- BERNAMA



