sarah21/10/2026 - 10:20 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 21 Okt - Peningkatan penggunaan peranti berasaskan bateri litium-ion, termasuk bank kuasa (power bank), serta perkembangan industri pusat data di Malaysia membuka keperluan baharu terhadap sistem keselamatan kebakaran yang lebih khusus dan berkesan.
Pengarah Eksekutif Fire Fighter Industry Sdn Bhd, Brian Soo berkata, risiko kebakaran melibatkan bateri litium-ion semakin mendapat perhatian, khususnya dalam persekitaran yang memerlukan tahap keselamatan tinggi seperti sektor penerbangan.
Beliau berkata, perkembangan teknologi dan perubahan corak penggunaan peranti elektronik memerlukan industri keselamatan kebakaran terus menyesuaikan pendekatan perlindungan bagi menangani risiko yang semakin kompleks.
"Keselamatan kebakaran sentiasa menjadi keutamaan kami, terutama apabila teknologi dan penggunaan peranti elektronik terus berkembang.
"Adalah penting untuk memastikan risiko kebakaran dapat dikawal dengan berkesan bagi mengelakkan kejadian yang boleh mengancam keselamatan pengguna," katanya kepada DagangNews.com.
Menurut Brian, peningkatan penggunaan bateri litium-ion turut menuntut pemahaman lebih mendalam mengenai ciri kebakaran yang berbeza daripada kebakaran konvensional, termasuk keperluan menggunakan kaedah kawalan yang bersesuaian.

Pertumbuhan pusat data tingkat keperluan keselamatan kebakaran
Dalam perkembangan berkaitan, Brian berkata, pertumbuhan industri pusat data di Malaysia turut meningkatkan kepentingan sistem perlindungan kebakaran yang mampu melindungi infrastruktur teknologi dan memastikan kesinambungan operasi.
Beliau berkata, Fire Fighter Industry mempunyai pengalaman menyediakan sistem keselamatan kebakaran menyeluruh bagi sebuah pusat data di Cyberjaya sebelum ini.
Menurutnya, keutamaan pengendali pusat data bukan sahaja untuk memadamkan kebakaran, malah memastikan sistem perlindungan yang digunakan tidak menyebabkan kerosakan tambahan kepada pelayan dan peralatan elektronik bernilai tinggi.
"Bagi pusat data, perkara paling penting ialah memastikan operasi tidak terganggu. Jika kebakaran berlaku, tindakan perlu pantas dan tertumpu kepada kawasan terjejas tanpa merosakkan peralatan lain.
"Sebab itu kami menggunakan sistem pemadaman kebakaran berasaskan gas atau 'fire suppression system', bukannya air, bagi mengawal kebakaran dengan mengurangkan kepekatan oksigen dalam ruang yang dilindungi," jelasnya.
Brian berkata, perlindungan kebakaran yang berkesan merupakan pelaburan penting kepada perniagaan kerana insiden kebakaran boleh menyebabkan gangguan operasi berpanjangan, selain kerugian akibat kerosakan aset.
Beliau turut menjangkakan industri keselamatan kebakaran akan mengalami perubahan pada 2027 susulan inisiatif Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk memperkukuh pengurusan keselamatan bangunan.
Menurutnya, kira-kira 9,000 bangunan di Malaysia mempunyai sijil perakuan bomba, dengan perubahan yang dijangka itu melibatkan keperluan latihan serta penempatan pengurus dan pegawai keselamatan kebakaran.
"Walaupun langkah ini mungkin meningkatkan kos operasi dan keperluan tenaga kerja, ia merupakan pelaburan jangka panjang kerana kebakaran boleh menyebabkan sesebuah perniagaan terpaksa menghentikan operasi selama berminggu-minggu atau berbulan-bulan," katanya.

Pasaran pengguna domestik terus berkembang
Mengulas prestasi perniagaan, Brian berkata, Fire Fighter Industry yang telah beroperasi selama kira-kira 52 tahun mempunyai dua segmen utama, iaitu pasaran komersial yang tertakluk kepada keperluan kawal selia serta pasaran pengguna domestik.
Beliau berkata, walaupun sebahagian besar pendapatan syarikat masih disumbangkan segmen komersial, jumlah alat pemadam api yang dijual kepada pengguna rumah sebenarnya lebih tinggi berbanding pelanggan perniagaan.
"Pasaran rumah semakin berkembang kerana pengguna kini lebih berpengetahuan tentang kepentingan keselamatan kebakaran.
"Kami telah melaburkan banyak masa, usaha dan sumber sepanjang lima tahun lalu untuk mendidik masyarakat, termasuk melalui program komuniti dan platform media sosial," katanya.
Brian berkata, syarikat itu turut memanfaatkan platform e-dagang untuk memperluaskan jualan produk keselamatan kebakaran, dengan operasi jualan dalam talian diperkukuh sejak 2019.
Menurutnya, Fire Fighter Industry menawarkan perkhidmatan bersepadu merangkumi pembuatan, penjualan, penyelenggaraan dan servis sistem keselamatan kebakaran, selain memberi tumpuan kepada keperluan pengguna kediaman. - DagangNews.com



