sarah20/10/2026 - 14:42 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com PETALING JAYA 20 Okt - Sebanyak 16,111 kes kebakaran direkodkan di seluruh Malaysia sepanjang tahun lalu, mengorbankan 98 nyawa dan menyebabkan kemusnahan harta benda bernilai kira-kira RM2 bilion.
Pengarah Eksekutif Fire Fighter Industry Sdn Bhd (Fire Fighter Industry), Brian Soo berkata, angka itu menunjukkan secara purata hampir satu kejadian kebakaran berlaku setiap 20 minit di negara ini, dengan Selangor mencatatkan jumlah tertinggi melebihi 5,000 kes.
Menurut beliau, kira-kira 60% daripada kejadian kebakaran di Malaysia berpunca daripada masalah berkaitan elektrik, termasuk penggunaan peralatan elektrik secara berlebihan yang boleh menyebabkan pemanasan melampau.
“Ramai orang tidak memikirkan tentang risiko kebakaran sehinggalah ia berlaku kepada mereka sendiri. Hakikatnya, banyak langkah pencegahan yang boleh dilakukan untuk mengurangkan risiko tersebut,” katanya kepada DagangNews.com ketika ditemui pada majlis pelancaran inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Branding Association of Malaysia (BAM) di sini hari ini.
Brian berkata, peningkatan penggunaan teknologi baharu seperti kenderaan elektrik (EV) dan panel solar turut memperkenalkan risiko kebakaran yang memerlukan pendekatan keselamatan serta kaedah pemadaman berbeza daripada kebakaran konvensional.

Beliau menjelaskan, kebakaran membabitkan bateri EV, khususnya bateri litium-ion, mempunyai risiko tersendiri kerana tindak balas kimia dalam bateri boleh menyebabkan kebakaran berterusan atau menyala semula walaupun selepas usaha pemadaman dilakukan.
“Jika berlaku kebakaran yang melibatkan bateri EV, perkara paling penting ialah segera menjauhkan diri daripada kenderaan dan mendapatkan bantuan kecemasan,” katanya.
Dalam pada itu, Soo berkata, kebakaran panel solar juga memerlukan pengendalian khusus kerana panel berkenaan masih boleh menjana tenaga elektrik selagi menerima cahaya matahari.
Sehubungan itu, Fire Fighter Industry kini mengedarkan produk pemadam kebakaran yang dibangunkan di Australia, menggunakan cecair hitam khas untuk menyaluti permukaan panel solar bagi menghalang penerimaan cahaya matahari.
“Cecair tersebut akan mengering dan boleh ditanggalkan semula selepas digunakan tanpa merosakkan permukaan panel solar,” jelasnya.
Sementara itu, menerusi inisiatif Fireproof Subang Jaya, syarikat berkenaan memberi tumpuan kepada empat aspek utama iaitu pendidikan keselamatan kebakaran, penyediaan peralatan pemadam yang bersesuaian, latihan praktikal serta meningkatkan kesedaran terhadap risiko kebakaran baharu membabitkan EV dan sistem tenaga solar.
Brian berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan masyarakat bukan sahaja mengetahui punca kebakaran, malah mempunyai pengetahuan dan kemahiran asas untuk bertindak dengan selamat ketika menghadapi kecemasan. - DagangNews.com






