Firma pengurusan aset global dari Jepun, Amova ambil alih 97.7% saham AHAM Capital

LocalBusiness & Finance
23 Dec 2025 • 5:37 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Firma pengurusan aset global dari Jepun, Amova ambil alih 97.7% saham AHAM Capital image is not available liza23/12/2025 - 17:37

KUALA LUMPUR 23 Dis – Amova Asset Management Co Ltd, sebuah pengurus aset global yang berpangkalan di Jepun, menandatangani perjanjian pembelian saham bersyarat untuk memperoleh pegangan kawalan dalam AHAM Asset Management Bhd, meningkatkan pemilikan daripada 20 peratus kepada 97.7 peratus.

 

Dalam kenyataan hari ini, AHAM Capital memaklumkan pengambilalihan ini akan tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa dan syarat penutupan yang lazim.

 

Syarikat itu menegaskan operasi akan diteruskan seperti biasa di bawah pengurusan dan pasukan kepimpinan sedia ada.

 

“Para pelanggan boleh menjangkakan kesinambungan perkhidmatan yang lancar, disokong oleh pasukan yang sama dipercayai, sambil mendapat akses yang lebih baik kepada penyelesaian inovatif dan jaringan serantau yang lebih luas melalui Amova AM, salah satu firma pengurusan aset terbesar di Asia,” menurut kenyataan itu.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Amova AM Stefanie Drews berkata pengambilalihan pengurus aset terkemuka di pasaran berkembang ini merupakan langkah strategik penting yang memperkukuh usaha Amova AM untuk menghubungkan Asia dengan pasaran global.

 

“Kami berbangga langkah ini berlaku tidak lama selepas penjenamaan semula global kami awal tahun ini. 

 

“Dengan menggabungkan kepakaran tempatan AHAM Capital dan keupayaan pelaburan patuh Syariah dengan skala global dan inovasi Amova AM, kami akan menyediakan penyelesaian berbeza untuk pelanggan kami dan mempercepat pertumbuhan dalam segmen pelaburan awam, swasta dan Islamik.

 

“Langkah strategik ini menekankan aspirasi kami untuk menjadi peneraju di Asia sambil mengembangkan capaian global kami,” katanya.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan AHAM Capital Datuk Teng Chee Wai berkata Amova AM telah menjadi rakan kongsi yang dipercayai sejak 2011 dan AHAM Capital akan terus komited memastikan integrasi ini memberikan manfaat yang bermakna melalui peningkatan keupayaan, tawaran inovatif, dan akses kepada rangkaian serantau yang lebih luas.

 

“Di bawah kepimpinan pasukan pengurusan sedia ada, kami terus menumpukan perhatian kepada kesinambungan dan memberikan nilai jangka panjang kepada pelanggan dan rakan kongsi yang meletakkan kepercayaan pada kami,” tambah beliau.

 

Amova AM sebelum ini dikenali sebagai Nikko Asset Management dan merupakan ahli Kumpulan Sumitomo Mitsui Trust. -- BERNAMA

Terkini featured standard