
Kota Kinabalu: Kontrak yang diperoleh syarikat berpangkalan di Sabah dalam sektor minyak dan gas (O&G) melonjak hampir sembilan kali ganda kepada lebih RM3 bilion tahun ini berbanding hanya RM340 juta pada 2021.
Timbalan Ketua Menteri II Datuk Seri Masidi Manjun (gambar) berkata pencapaian itu mencerminkan peningkatan ketara penyertaan syarikat tempatan dalam industri minyak dan gas negeri susulan pelaksanaan Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) bersama Petronas pada 2021.
Masidi yang juga Menteri Kewangan Negeri berkata syarikat Sabah dijangka memperoleh 50 peratus daripada nilai kontrak menjelang akhir tahun ini sekali gus mencatatkan tahap penyertaan syarikat tempatan tertinggi dalam sejarah sektor berkenaan.
Pencapaian itu turut didorong peranan aktif Jawatankuasa Kecil 4 (SC4) yang bekerjasama rapat dengan SMJ Energy, Petronas dan rakan kongsi pengendali industri bagi menterjemahkan dasar kerajaan negeri kepada peluang kontrak, pekerjaan dan pendapatan untuk syarikat tempatan.
“Penyertaan ekuiti dan hasil kepada negeri adalah penting tetapi matlamat sebenar kita adalah memastikan perniagaan tempatan dan tenaga kerja turut mendapat manfaat secara langsung daripada kejayaan industri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam tahunan bertemakan “Back to the 70s” anjuran Sabah Oil and Gas Services Council (SOGSC) di Magellan Sutera Resort pada malam Sabtu.
Masidi yang juga Pengerusi SMJ Energy berkata kerajaan negeri akan terus melaksanakan Pelan Hala Tuju Strategik OGSE Sabah menerusi lima komitmen utama bagi memperkukuh keupayaan dan meningkatkan daya saing syarikat tempatan dalam industri minyak dan gas.
Komitmen itu termasuk membuka lebih banyak peluang dalam skop kerja bernilai tinggi, termasuk operasi kompleks di lapangan minyak dan gas sedia ada (brownfield) serta operasi laut dalam.
“Kerajaan negeri turut memberi tumpuan kepada pembangunan jurutera dan juruteknik muda Sabah, selain bekerjasama dengan rakan industri untuk menyediakan kemudahan pembiayaan yang lebih kompetitif supaya vendor tempatan mempunyai akses kepada modal bagi melabur dalam peralatan dan meningkatkan keupayaan operasi mereka.
“Satu lagi komitmen adalah memperkukuh proses pengesahan vendor dan semakan kandungan tempatan bagi memastikan peluang kontrak diberikan kepada syarikat Sabah yang benar-benar layak,” katanya.
Masidi berkata, kerajaan negeri juga akan memastikan Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (Mindet), SMJ Energy, Petronas dan rakan kongsi pengendali industri terus bekerjasama bagi memastikan dasar yang dirangka selari dengan pelaksanaan sebenar di lapangan.
Beliau menegaskan bahawa syarikat tempatan perlu memberi tumpuan kepada empat bidang utama bagi memastikan mereka dapat berkembang dan kekal berdaya saing dalam industri berkenaan iaitu keupayaan teknikal, pembangunan tenaga kerja mahir, daya saing kos serta tadbir urus dan pematuhan.
Katanya, usaha mengutamakan syarikat tempatan perlu seiring dengan keupayaan vendor Sabah menawarkan nilai, kos dan kualiti perkhidmatan yang kompetitif.
Beliau turut memberi amaran terhadap amalan “Ali Baba”, iaitu apabila nama atau identiti syarikat tempatan digunakan sebagai proksi untuk mendapatkan kontrak, sedangkan kerja sebenar dan manfaat ekonomi disalurkan kepada pihak lain.
“Kerajaan negeri tidak akan bertolak ansur dengan jalan pintas seperti itu kerana ia menjejaskan integriti pelan pembangunan keupayaan yang diwujudkan bersama Petronas, selain menafikan peluang kepada syarikat Sabah yang benar-benar layak.
“Kerajaan negeri akan terus memantau perkembangan, mengambil kira maklum balas industri dan melaksanakan tindakan sewajarnya berdasarkan hasil pemantauan,” katanya.
Masidi berkata nilai manfaat ekonomi yang kekal di Sabah menerusi penyertaan vendor tempatan terus meningkat sejak CCA ditandatangani pada 2021.
“Berdasarkan unjuran semasa, jumlah itu dijangka melebihi RM8 bilion setahun menjelang 2031,” katanya.
Beliau berkata pencapaian sasaran itu bergantung kepada keupayaan syarikat tempatan membangunkan kepakaran, melahirkan tenaga kerja mahir, meningkatkan daya saing dan mengekalkan integriti dalam menjalankan perniagaan.
Sehubungan itu, Masidi turut memuji peranan SOGSC sebagai penghubung antara kontraktor tempatan, syarikat pengendali dan kerajaan negeri dalam memperkukuh kerjasama serta meningkatkan standard industri minyak dan gas di Sabah.




