GDB raih kontrak RM1.02 bilion, buku tempahan melonjak kepada RM2.05 bilion – JF Apex

LocalBusiness & Finance
27 Oct 2026 • 9:13 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

GDB raih kontrak RM1.02 bilion, buku tempahan melonjak kepada RM2.05 bilion – JF Apex Image from: GDB raih kontrak RM1.02 bilion, buku tempahan melonjak kepada RM2.05 bilion – JF Apex sarah27/10/2026 - 09:13 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 27 Okt - GDB Holdings Bhd (GDB) mencatatkan buku tempahan tertinggi dalam tempoh lima tahun bernilai kira-kira RM2.05 bilion selepas memperoleh kontrak pembinaan kediaman terbesar dalam sejarah kumpulan bernilai RM1.02 bilion bagi projek ParkCity Residences di Desa ParkCity, Kuala Lumpur.

 

Menurut JF Apex Securities Research, kontrak yang dianugerahkan oleh Perdana ParkCity Sdn Bhd itu hampir menggandakan buku tempahan GDB, sekali gus memberikan keterlihatan pendapatan kepada kumpulan sehingga tahun kewangan 2031.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kontrak berkenaan berpotensi menyumbang keuntungan selepas cukai terkumpul kira-kira RM81.4 juta berdasarkan andaian margin keuntungan 8%, bersamaan purata RM17 juta setahun sepanjang tempoh pelaksanaannya.

 

"Jumlah itu bersamaan kira-kira 21.8% daripada unjuran keuntungan bersih teras GDB bagi tahun kewangan 2027," menurut firma penyelidikan itu dalam nota kajian hari ini.

 

Projek yang dilaksanakan menerusi anak syarikat milik penuh GDB, Grand Dynamic Builders Sdn Bhd itu merangkumi pembinaan dua blok kediaman setinggi 49 hingga 63 tingkat dengan 433 unit apartmen, podium tujuh tingkat serta tempat letak kereta bawah tanah dua tingkat. Kerja pembinaan dijadual bermula pada 4 November 2026 dan siap pada 18 Ogos 2031.

 

JF Apex berkata, kontrak terbaharu itu meningkatkan jumlah nilai kontrak yang diperoleh GDB sepanjang tahun ini kepada rekod RM1.81 bilion, termasuk projek Wolo Hotel & Residences di Mont Kiara bernilai RM439.4 juta, kerja jalan raya di Sarawak (RM121.4 juta), subkontrak ramalan banjir PRAB Fasa 3 (RM119 juta) dan loji rawatan air di Song (RM115.5 juta).

 

Selain itu, kumpulan mempunyai buku tender bernilai kira-kira RM3.3 bilion yang merangkumi projek perindustrian, pusat data, komersial, pembangunan bercampur, infrastruktur dan kediaman, sekali gus menyediakan peluang untuk menambah buku tempahan pada masa hadapan.

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu mengingatkan bahawa pelaksanaan dua projek bangunan tinggi berskala besar secara serentak, iaitu Wolo dan ParkCity, boleh memberi tekanan kepada keupayaan pengurusan projek serta modal kerja kumpulan, selain risiko kenaikan kos bahan binaan dan buruh sepanjang tempoh kontrak.

 

Susulan perolehan kontrak terbaharu itu, JF Apex menaikkan unjuran keuntungan GDB bagi tahun kewangan 2026, 2027 dan 2028 masing-masing sebanyak 4.9%, 21.1% dan 23% kepada RM75.1 juta, RM78.1 juta dan RM72.2 juta. Firma itu turut meningkatkan andaian penambahan buku tempahan bagi 2026 kepada RM2 bilion berbanding RM1.3 bilion sebelum ini.

 

"Kami mengekalkan saranan 'Beli' terhadap GDB dengan menaikkan harga sasaran kepada 67 sen daripada 60 sen sebelum ini," menurut JF Apex yang turut melihat buku tender bernilai RM3.3 bilion, pengembangan dalam projek infrastruktur Sarawak serta kepelbagaian perniagaan ke sektor pembangunan hartanah sebagai faktor positif bagi kumpulan.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved