Festival Kraf Utara Platform Perkukuh Promosi Kraf Tempatan

3 Aug 2026 • 8:10 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Festival Kraf Utara Platform Perkukuh Promosi Kraf Tempatan

KANGAR: Seramai 72 usahawan kraf dari seluruh negara dihimpunkan bagi memeriahkan Jelajah Mesra bersempena Festival Kraf Utara (FKU) 2026 di Kraftangan Malaysia cawangan Perlis bermula dari 23 Julai hingga 3 Ogos.

Usahawan yang terlibat dalam festival kali ini merangkumi bidang seperti kraf tekstil, hasil tanah, hasil logam, hasil rimba dan aneka kraf lain.

Sesi Jelajah Mesra bersempena FKU 2026 itu disempurnakan Pengerusi Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Datin Marzita Mansor yang mewakili Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah dan diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot serta Ketua Pengarah Kraftangan, Abdul Halim Ali.

Dalam sesi tersebut, Shaharuddin turut meluangkan masa melawat reruai usahawan dan komuniti kraf di tapak jualan kraf, demonstrasi dan interaktif kraf, pameran produk kraf baharu (identiti negeri utara) serta Pameran Institut Kraf Negara (IKN).

Shaharuddin berkata, FKU 2026 menjadi platform pertemuan antara usahawan kraf bersama pembeli dari dalam negara seperti syarikat pengeksport barangan berkaitan kraf, agensi kerajaan, syarikat perhotelan dan pusat beli belah.

Beliau berkata, festival yang berlangsung meriah itu turut melibatkan penyertaan komuniti kraf baharu daripada 29 Projek Pembangunan Kemahiran Komuniti (PPKK) dari empat negeri iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Katanya, selain itu, FKU 2026 turut menawarkan pengisian aktiviti berlainan menerusi jalinan kerjasama dengan pelbagai agensi.

“Sambutan diterima pada tahun ini sangat menggalakkan dan penganjuran festival berkenaan turut diharap dapat menjadi tarikan buat pelancongan dalam negara.

“Kita juga ingin menggalakkan pelancongan dalam negara atau pelancongan domestik supaya dapat memajukan industri ini dan kurangkan aliran keluar pelancong kita,” katanya.

Sementara itu, Shaharuddin berkata, Malaysia International Kraf Fair (MICF) akan dianjurkan di Kompleks Kraf Kuala Lumpur dari 24 September hingga 5 Oktober dalam usaha memperkukuhkan promosi produk kraf tempatan ke peringkat antarabangsa serta merancakkan pelancongan domestik.

Katanya, MICF tersebut dijenamakan semula daripada Hari Kraf Kebangsaan dan ia juga bersempena perlumbaan Formula 1 (F1) bagi menarik pengunjung antarabangsa.

“Langkah tersebut merupakan sebahagian daripada usaha meningkatkan imej industri kraf negara agar lebih berdaya saing di peringkat global selain memperluaskan pasaran produk kraf tempatan.

“Ini antara program yang kita ketengahkan dalam mempromosikan produk kraf tempatan. Kita harap mereka yang datang ke F1 akan turut mengunjungi program ini.

“MICF ini akan menghimpunkan produk kraf dari seluruh negara serta menjadi platform kepada usahawan kraf memasarkan hasil keluaran mereka kepada pengunjung tempatan dan luar negara.

“Menjadi kelaziman, kru dan pengunjung untuk F1 ini akan datang seminggu lebih awal sebelum perlumbaan, sekali gus memberi peluang kepada Kraftangan Malaysia mempromosikan produk kraf tempatan,” katanya. – UTUSAN

The post Festival Kraf Utara Platform Perkukuh Promosi Kraf Tempatan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved