Flat Sungai Pari di Ipoh yang terbiar sejak 2016 bakal dibangunkan semula dengan 336 kediaman, 26 lot kedai

24 Nov 2026 • 3:18 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Flat Sungai Pari di Ipoh yang terbiar sejak 2016 bakal dibangunkan semula dengan 336 kediaman, 26 lot kedai Image from: Flat Sungai Pari di Ipoh yang terbiar sejak 2016 bakal dibangunkan semula dengan 336 kediaman, 26 lot kedai liza24/11/2026 - 15:18 Flat Sungai Pari di Ipoh, Perak Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 24 Nov – Flat Sungai Pari di Buntong, Ipoh yang terbiar sejak 2016 bakal dibangunkan semula menerusi projek pembangunan bercampur membabitkan 336 unit kediaman dan 26 lot kedai di atas tapak seluas empat hektar (10 ekar).

 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Datuk Sandrea Ng berkata, Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) sudah memilih pemaju untuk melaksanakan projek berkenaan menerusi kaedah usaha sama.

 

Bagaimanapun, cadangan pembangunan semula itu masih menunggu kelulusan kebenaran merancang daripada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sebelum kerja-kerja perobohan dan pembinaan dapat dimulakan.

 

Beliau berkata, proses penukaran zon tanah sudah selesai, manakala pemaju mengemukakan permohonan kebenaran merancang kepada MBI pada 11 November lalu.

 

"Permohonan itu kini sedang diproses untuk pertimbangan Jawatankuasa Pusat Setempat (OSC) majlis yang turut membabitkan pihak berkuasa dan agensi teknikal berkaitan.

 

"Kerja-kerja perobohan dan pembangunan semula hanya akan dilaksanakan selepas kelulusan yang diperlukan diperoleh," katanya ketika menjawab soalan M. Thulsi (PH-Buntong) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini.

 

Projek baharu turut sediakan kemudahan komuniti

Menurut Sandrea, pembangunan itu bukan sahaja melibatkan unit kediaman dan ruang komersial, malah turut merangkumi kemudahan sokongan serta infrastruktur bagi memenuhi keperluan masyarakat setempat.

 

Cadangan pembangunan berkenaan juga mengambil kira kepentingan sejarah tapak itu apabila dua bangunan sedia ada yang mempunyai nilai sejarah akan dikekalkan bagi mengekalkan sebahagian identiti asal Flat Sungai Pari.

 

Beliau berkata, pembangunan semula itu dijangka mengoptimumkan penggunaan tanah bandar yang terletak di lokasi strategik, selain memastikan kawasan berkenaan dapat dimanfaatkan untuk keperluan komuniti.

 

Flat Sungai Pari dikosongkan sejak 2016

Flat itu yang dibina pada 1963 merupakan antara projek perumahan awam terawal di Ipoh, namun bangunan itu dikosongkan pada 2016 selepas didapati tidak lagi selamat untuk diduduki berikutan keadaannya yang semakin uzur.

 

Kerajaan negeri pada 2021 memutuskan untuk memindahkan tanah dan hartanah berkenaan kepada LPHP bagi memudahkan pelaksanaan pembangunan semula tapak itu.

 

Pada Julai lalu, dua pelajar perempuan berusia 14 tahun ditemukan meninggal dunia berhampiran kawasan flat berkenaan yang mencetuskan kebimbangan orang ramai terhadap aspek keselamatan di kawasan yang sudah lama terbiar itu.

 

Tiga pengawal keselamatan ditempatkan sepanjang masa

Mengulas langkah keselamatan sementara menunggu pembangunan semula, Sandrea berkata, pemaju sudah menempatkan tiga pengawal keselamatan bagi memantau kawasan berkenaan sepanjang masa.

 

Seorang pengawal bertugas pada waktu siang, manakala dua lagi ditempatkan pada waktu malam bagi mengawal pergerakan di kawasan tapak.

 

Selain itu, papan tanda larangan memasuki kawasan sudah dipasang di sekitar premis, manakala pagar penghadang turut dibina di sepanjang sempadan tapak bagi menyekat akses dan mengelakkan pencerobohan.

 

Kerja-kerja semburan kabus (fogging) dan rawatan larvasid juga dilaksanakan setiap bulan bagi mengawal pembiakan nyamuk di kawasan berkenaan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved