Carlo Rino semak semula operasi kedai fizikal selepas untung bersih menjunam 37% pada FY2026

LocalBusiness & Finance
26 Oct 2026 • 12:21 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Carlo Rino semak semula operasi kedai fizikal selepas untung bersih menjunam 37% pada FY2026 Image from: Carlo Rino semak semula operasi kedai fizikal selepas untung bersih menjunam 37% pada FY2026 liza26/10/2026 - 12:21 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 26 Okt – Untung bersih Carlo Rino Group Berhad merosot sebanyak 37% kepada RM9.87 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 (FY2026) berbanding RM15.67 juta pada tahun sebelumnya, susulan hasil lebih rendah dan peningkatan perbelanjaan operasi.

 

Kumpulan fesyen itu merekodkan hasil RM95.87 juta bagi FY2026, turun 3% daripada RM98.87 juta pada FY2025 manakala untung sebelum cukai merosot 39.8% kepada RM12.76 juta berbanding RM21.18 juta sebelumnya.

 

Dalam laporan tahunan 2026 kepada Bursa Malaysia, Carlo Rino berkata prestasi perniagaannya dipengaruhi perbelanjaan pengguna yang lebih berhati-hati berikutan tekanan kos sara hidup, perubahan pilihan pengguna dan persaingan yang semakin sengit dalam sektor peruncitan.

 

Untung kasar kumpulan turut menyusut 6.4% kepada RM58.50 juta daripada RM62.49 juta pada FY2025, manakala margin untung kasar turun kepada 61.02% berbanding 63.21% sebelumnya, sebahagiannya disebabkan peningkatan aktiviti promosi sepanjang tahun kewangan berkenaan.

 

Kumpulan berkata pada masa sama, perbelanjaan operasi meningkat 12.6% kepada RM47.99 juta daripada RM42.60 juta, termasuk kerugian penjejasan nilai aset hak guna kira-kira RM2.04 juta dan hartanah, loji serta peralatan sebanyak RM950,000.

 

E-dagang meningkat 15.7%

“Bagaimanapun, saluran e-dagang terus mencatatkan pertumbuhan apabila hasil meningkat 15.7% kepada RM20.74 juta pada FY2026 berbanding RM17.93 juta pada tahun sebelumnya.

 

“Sumbangan e-dagang kepada jumlah hasil kumpulan turut meningkat kepada 21.7% daripada 18.1%, sekali gus menunjukkan kepentingan saluran digital dalam mengimbangi penurunan jualan melalui rangkaian kedai fizikal,” katanya.

 

Sebaliknya, hasil daripada kaunter gedung beli-belah turun kira-kira 6.7% kepada RM28.5 juta berbanding RM30.53 juta pada FY2025, mencerminkan kesan sentimen pengguna yang lebih lemah terhadap perbelanjaan barangan fesyen.

 

Pada 30 Jun 2026, kumpulan mengendalikan 122 lokasi jualan fizikal di seluruh negara, terdiri daripada 33 butik di pusat beli-belah, tujuh butik di pusat jualan premium dan 82 kaunter gedung beli-belah, berbanding 124 lokasi pada tahun sebelumnya.

 

Tunai RM102.95 juta sokong operasi

Dari segi aliran tunai, Carlo Rino merekodkan aliran tunai bersih daripada aktiviti operasi sebanyak RM24.79 juta pada FY2026 berbanding RM17.51 juta pada FY2025, disokong terutamanya pengurangan inventori yang memberi kesan positif kepada modal kerja.

 

Kumpulan mempunyai tunai dan kesetaraan tunai RM36 juta serta dana jangka pendek RM66.95 juta pada akhir FY2026, menjadikan jumlah kedua-duanya kira-kira RM102.95 juta bagi menyokong keperluan operasi dan kewangan.

 

Butik utama Jalan Imbi dijangka bermula FY2027

Bagi prospek, Carlo Rino menjangkakan persekitaran peruncitan kekal mencabar dan kompetitif, dengan perbelanjaan pengguna terhadap produk bukan keperluan asas terus dipengaruhi kos sara hidup serta sentimen pasaran.

 

Kumpulan akan terus menilai peluang untuk memperluas kehadiran e-dagang dan menyemak prestasi rangkaian kedai fizikal bagi menyesuaikan operasi dengan perubahan pilihan pengguna serta keadaan pasaran.

 

Dalam perkembangan berkaitan, pembangunan butik utama yang dicadangkan di Jalan Imbi, Kuala Lumpur, dijangka bermula pada separuh kedua FY2027, tertakluk kepada pemenuhan syarat dan kelulusan yang diperlukan. Anggaran pelaburan projek itu disemak kepada kira-kira RM22.3 juta.

 

Bagi FY2026, Carlo Rino membayar dua dividen interim berjumlah kira-kira RM9.78 juta. Bagaimanapun, lembaga pengarah tidak mencadangkan dividen akhir bagi tahun kewangan berkenaan.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved