liza16/11/2026 - 10:24 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 16 Nov – Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menggesa pengeluar tempatan memperkukuh daya tahan sistem digital masing-masing susulan gangguan perkhidmatan Microsoft 365 yang berlaku baru-baru ini.
Presiden FMM, Jacob Lee Chor Kok berkata, gangguan itu menjadi peringatan penting bahawa semua pemilik perniagaan semakin terdedah kepada risiko apabila berlakunya gangguan terhadap infrastruktur digital kritikal yang digunakan dalam operasi harian.
Menurutnya, pengeluar di Malaysia kini semakin bergantung kepada platform digital susulan penggunaan teknologi seperti pengkomputeran awan (cloud computing), kecerdasan buatan (AI), sistem perancangan sumber perusahaan (ERP) dan teknologi Industri 4.0.
“Walaupun pendigitalan meningkatkan produktiviti, kecekapan operasi dan daya saing global, kebergantungan tersebut turut mendedahkan syarikat kepada risiko yang memerlukan pengurusan strategik lebih menyeluruh.
Gangguan digital boleh jejaskan rantaian bekalan
“Bagi sektor pembuatan, gangguan perkhidmatan digital bukan lagi sekadar masalah teknologi maklumat (IT), sebaliknya berpotensi menjejaskan pengeluaran, rantaian bekalan dan kesinambungan perniagaan.
“Ini kerana operasi kilang banyak bergantung kepada sambungan digital bagi menguruskan pesanan pelanggan, perolehan bahan mentah, jadual pengeluaran, inventori, kawalan kualiti, logistik dan transaksi kewangan,” katanya dalam satu kenyataan.
Gangguan berpanjangan terhadap sistem komunikasi berasaskan ‘cloud’ serta sistem perniagaan boleh menyebabkan kelewatan pesanan pembelian, menjejaskan penyelarasan dengan pembekal, mengganggu jadual penghantaran dan menyebabkan syarikat gagal memenuhi komitmen penghantaran.
Menurutnya, risiko itu lebih ketara bagi pengeluar yang beroperasi dalam rantaian bekalan global yang memerlukan pengeluaran tepat pada masanya (just-in-time), jadual penghantaran yang tepat serta pertukaran maklumat masa nyata.
“Bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mungkin tidak mempunyai pasukan IT khusus, sistem komunikasi alternatif atau pelan kesinambungan perniagaan menyeluruh, kesan gangguan berkenaan boleh menjadi lebih mencabar.
Syarikat perlu audit sistem lama, sediakan pelan alternatif
“Usaha transformasi digital perlu dilaksanakan seiring dengan pengukuhan daya tahan digital syarikat. Pengeluar disaran menilai tahap kebergantungan terhadap platform teknologi tertentu, menyediakan saluran komunikasi alternatif, memastikan akses selamat kepada maklumat operasi penting serta membangunkan pelan kesinambungan praktikal bagi menghadapi gangguan perkhidmatan yang tidak dijangka,” katanya.
FMM turut menggesa pasukan IT syarikat menjalankan pemeriksaan menyeluruh terhadap perisian dan sistem legasi yang masih digunakan dalam operasi.
Katanya, infrastruktur yang semakin usang dan aplikasi mesin legasi yang tidak lagi disokong boleh mewujudkan masalah integrasi, kelemahan keselamatan serta risiko kegagalan pada satu titik (single point of failure) ketika berlaku gangguan rangkaian atau perkhidmatan cloud.
Justeru, jabatan IT perlu menilai keserasian sistem, status kemas kini keselamatan serta mekanisme pemulihan dan pertukaran kepada sistem sandaran (failover) bagi mengelakkan gangguan menjejaskan kesinambungan operasi.
Daya tahan digital perlu dimasukkan dalam NIMP 2030
Pada peringkat nasional, beliau berkata FMM berpandangan daya tahan infrastruktur digital perlu menjadi sebahagian daripada agenda transformasi industri Malaysia di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).
“FMM menggesa kerjasama lebih erat antara agensi kerajaan, penyedia perkhidmatan teknologi dan persatuan industri bagi membangunkan garis panduan praktikal berkaitan daya tahan digital, khususnya untuk membantu PKS.
“Pertimbangan juga perlu diberikan kepada usaha membantu pengeluar meningkatkan keselamatan siber, keupayaan pemulihan bencana serta perancangan kesinambungan perniagaan sebagai sebahagian daripada perjalanan pendigitalan mereka.
“Selain itu, penyedia perkhidmatan teknologi utama perlu memastikan komunikasi tepat pada masanya, memberikan maklumat terkini mengenai status perkhidmatan serta menyediakan mekanisme pemulihan berkesan apabila gangguan menjejaskan perkhidmatan kritikal perniagaan,” jelasnya. - DagangNews.com




