Keuntungan syarikat besar bukan kayu ukur kenaikan gaji minimum – FMM

LocalBusiness & Finance
30 Sep 2026 • 11:15 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Keuntungan syarikat besar bukan kayu ukur kenaikan gaji minimum – FMM

PETALING JAYA: Keuntungan segelintir syarikat besar tidak seharusnya dijadikan kayu ukur kemampuan semua majikan untuk menaikkan gaji minimum.

Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Jacob Lee Chor Kok berkata, kemampuan membayar gaji berbeza antara syarikat kerana tidak semua perniagaan menikmati keuntungan yang sama.

Katanya, banyak syarikat besar sudah membayar gaji melebihi kadar minimum, tetapi pengilang kecil dan perniagaan yang bergantung kepada tenaga buruh mempunyai kemampuan lebih terhad untuk menanggung kenaikan mendadak kos penggajian.

Bagaimanapun, beliau berkata, syarikat yang mencatat keuntungan kukuh secara berterusan perlu memastikan pekerja turut menikmati kejayaan itu secara adil.

“Apabila perniagaan mencatat lebihan kewangan secara berterusan, pekerja seharusnya turut menikmati kejayaan itu melalui gaji lebih baik, bonus, pembangunan kemahiran dan peluang kemajuan kerjaya.

“Mengekalkan pekerja berkemahiran penting kepada kejayaan perniagaan,” katanya dalam kenyataan.

Jacob berkata, FMM menyokong peningkatan gaji yang selari dengan peningkatan produktiviti, kemahiran pekerja dan prestasi perniagaan.

Namun, katanya, kemampuan syarikat membayar gaji lebih tinggi perlu dinilai bersama kos lain yang ditanggung, termasuk pelaburan dalam mesin, teknologi, latihan dan kapasiti pengeluaran.

Beliau berkata, pengilang juga perlu menanggung kos bahan mentah, tenaga, pengangkutan serta pembiayaan.

Menurutnya, Tinjauan Keadaan Perniagaan FMM bagi separuh pertama 2026 menunjukkan sebanyak 69 peratus responden melaporkan peningkatan kos, manakala 63 peratus menjangkakan kos terus meningkat pada separuh kedua tahun ini.

“Dapatan ini menunjukkan peningkatan jualan atau produktiviti secara keseluruhan tidak boleh dianggap sebagai bukti bahawa setiap pengilang mempunyai kemampuan sama untuk menaikkan gaji,” katanya.

Beliau berkata, kenaikan gaji minimum secara mendadak turut memberi kesan kepada keseluruhan struktur gaji, termasuk gaji operator berpengalaman, juruteknik dan penyelia.

Katanya, ini kerana majikan perlu mengekalkan perbezaan gaji berdasarkan kemahiran, pengalaman dan tanggungjawab pekerja.

Sehubungan itu, beliau berkata, penetapan gaji minimum perlu melalui rundingan antara pekerja, majikan dan kerajaan dalam Majlis Perundingan Gaji Negara.

“Rundingan itu perlu mengambil kira kos sara hidup, kebajikan pekerja, produktiviti, pekerjaan dan kemampuan majikan membayar gaji supaya hasilnya adil kepada semua pihak serta mampan,” katanya.

Jacob berkata, kenaikan gaji minimum yang melebihi kemampuan syarikat boleh menyebabkan sesetengah pengilang menilai semula harga, menangguhkan pengambilan pekerja atau mengubah rancangan pengeluaran.

Bagaimanapun, katanya, ruang untuk menaikkan harga turut terhad kerana syarikat perlu mengambil kira persaingan dan kontrak pelanggan.

Beliau berkata, Belanjawan 2027 boleh membantu meningkatkan kemampuan syarikat membayar gaji lebih baik melalui sokongan terhadap pelaburan, teknologi, latihan dan peningkatan produktiviti.

“Rundingan antara pekerja, majikan dan kerajaan penting untuk mencapai kadar gaji minimum yang meningkatkan pendapatan, mengiktiraf sumbangan pekerja dan membolehkan perniagaan kekal berdaya maju,” katanya. – UTUSAN

The post Keuntungan syarikat besar bukan kayu ukur kenaikan gaji minimum – FMM appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved