Jerebu: Belum ada ‘green light’ dari Indonesia

LocalEnvironment
7 Oct 2026 • 12:10 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Jerebu: Belum ada ‘green light’ dari Indonesia

KUALA LUMPUR – Malaysia sudah bersedia dari segi aset, kepakaran dan tenaga manusia untuk membantu Indonesia menangani kebakaran hutan serta tanah yang menjadi antara punca jerebu rentas sempadan.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, bagaimanapun sehingga hari ini, Malaysia masih belum menerima ‘green light’ (kebenaran) bagi memulakan operasi tersebut.

“Daripada pihak Malaysia kita sudah bersedia daripada segi aset, kepakaran dan juga manpower. We are ready to help (kita sudah bersedia untuk membantu),” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan MyNAP High-Level Forum di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini hari ini.

Menurut beliau, Malaysia sebelum ini sudah mengemukakan surat rasmi kepada Menteri Lingkungan Hidup Indonesia berhubung tawaran bantuan menangani kebakaran yang menyumbang kepada jerebu rentas sempadan.

Katanya, usaha itu turut disusuli Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi lawatan ke Indonesia pada 18 September lalu yang menyaksikan pertemuan dengan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto.

“Dan kita telah dapat persetujuan. Sekarang kita sedang menyelaraskan prosedur tersebut melalui Kementerian Luar Negeri negara kita dengan agensi dan Kementerian Luar Negeri daripada pihak Indonesia,” katanya.

Arthur berkata, Malaysia bersedia menggerakkan bantuan termasuk kepakaran dan aset berkaitan sekiranya prosedur berkenaan dimuktamadkan.

Sementara itu, beliau berkata Malaysia mempunyai Pelan Tindakan Jerebu yang menetapkan prosedur operasi standard (SOP) mengikut tahap Indeks Pencemaran Udara (IPU), termasuk apabila bacaan melebihi 100 dan 200.

Katanya, pemantauan juga dipertingkatkan susulan keadaan jerebu yang semakin membimbangkan dengan kira-kira 68 stesen pemantauan IPU di seluruh negara memberikan bacaan setiap jam.

“Jadi kita akan maklumkan kepada agensi-agensi yang berkaitan seperti Nadma (Agensi Pengurusan Bencana Negara), Kementerian Kesihatan dan juga Kementerian Pendidikan,” katanya.

Dalam pada itu, Arthur menasihatkan orang ramai supaya mengurangkan aktiviti luar sepanjang musim jerebu, khususnya golongan yang mempunyai tahap imuniti rendah.

“Kalau boleh elakkan aktiviti di luar. Elakkan ataupun kurangkan aktiviti di luar bagi mereka yang mungkin mempunyai imuniti yang agak rendah.

“Kalau boleh jangan keluar langsung, pakai pelitup muka dan banyak minum air,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Jerebu: Belum ada ‘green light’ dari Indonesia appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved