Sebelum ini, Kerajaan Johor menggesa pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan menyeluruh terhadap operasi Network School yang sedang berjalan di Iskandar Puteri termasuklah dakwaan terdapatnya warga Israel yang menyertai program berkenaan.
Baca Artikel Berkaitan: Ramai Bimbang Operasi Network School Di Forest City, Kerajaan Johor Gesa Siasatan Menyeluruh
Dalam perkembangan terbaharu, Forest City menerusi satu kenyataan berkata pihaknya akan mengambil tindakan sekiranya mendapati Network School melanggar undang-undang termasuk hal melibatkan imigresen, pelesenan, penggunaan tanah atau syarat kontrak.
Menurut Pemaju, Country Garden Pacificview Sdn Bhd, pihaknya akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sepanjang siasatan dijalankan.
Pemaju Sokong Pendirian Kerajaan Negeri, Tak Boleh Jadikan Johor Tapak Ideologi Yang Bercanggah Undang-undang
Country Garden Pacificview Sdn Bhd dalam masa sama turut menyokong pendirian Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi yang mengatakan negeri itu tidak boleh dijadikan pangkalan kepada ideologi, gerakan atau aktiviti yang bercanggah dengan undang-undang Malaysia atau menjejaskan kedaulatan Johor dan negara.
Warga Israel Yang Menyertai Network School Akan Diusir – Anwar Ibrahim
Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menegaskan bahawa kerajaan akan mengusir mana-mana rakyat Israel yang dikesan memasuki Malaysia untuk menyertai Network School.
“Kita tidak izinkan (kehadiran warganegara Israel ke Malaysia), kalau ada, tindakan mesti diambil. Kalau ada rakyat Israel yang kita tidak iktiraf, kita akan usir segera,” tegas beliau, lapor Kosmo.
Malah Anwar memberi jaminan perkara itu kini dalam siasatan dan kerajaan sama sekali tidak akan berkompromi jika terdapat rakyat Israel yang menyertai program itu tanpa kebenaran yang sah.
Memetik Buletin, Anwar berkata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir akan memberikan penjelasan lanjut mengenai perkara itu.







