Frontken berpotensi catat prestasi kukuh pada 2QFY25 dipacu peningkatan tempahan dari Taiwan - HLIB

31/07/2025 - 10:47
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 31 Julai - Frontken Corp Bhd berpotensi mencatatkan prestasi kukuh pada 2QFY25 didorong trend pertukaran mata wang asing yang menguntungkan serta peningkatan tempahan daripada pelanggan utamanya di Taiwan, kata Hong Leong Investment Bank (HLIB).
Katanya, impak negatif kesan daripada pertukaran mata wang asing kini semakin berkurangan, memandangkan dolar Taiwan kembali mengukuh berbanding ringgit sebanyak 4% dari suku tahun ke suku tahun pada suku kedua.
Firma penyelidikan itu berkata, perkembangan itu memberi manfaat kepada anak syarikat utama kumpulan, Ares Green Tech Corp (AGTC) yang majoriti perniagaannya dilakukan menggunakan dolar Taiwan.
“Berbeza dengan rakan setaranya yang tersenarai di Malaysia dalam sektor teknologi, yang terkesan akibat pengukuhan ringgit memandangkan jualan eksport mereka berasaskan dolar Amerika Syarikat (AS).
“Difahamkan, Frontken kini memegang kira-kira AS$30 juta dalam bentuk tunai (yang sebelum ini bertujuan untuk pengambilalihan di AS), yang boleh menyebabkan kerugian pertukaran mata wang asing tidak direalisasikan sehingga RM10 juta pada 2QFY25,” katanya dalam satu nota kajian.
Melangkah ke hadapan, HLIB kekal optimis terhadap prospek Frontken, dengan pengembangan global kilang fabrikasi semikonduktor, terutamanya di AS, Singapura dan India.
Walaupun unjuran kekal kukuh, firma penyelidikan itu memberi amaran, potensi peningkatan asas saham sebanyak 32% akibat penukaran waran (yang matang pada Mei 2026) boleh memberi tekanan ke atas potensi kenaikan harga saham dalam jangka masa terdekat.
HLIB mengekalkan saranan “pegang” ke atas dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada RM4.00.
“Kami kekal positif terhadap prospek pertumbuhan Frontken, yang disokong oleh dorongan struktur dalam sektor semikonduktor hasil permintaan berasaskan kecerdasan buatan (AI), peralihan berterusan kepada nod teknologi terkini, serta perbelanjaan modal yang kukuh oleh syarikat faundri,” katanya. - DagangNews.com
standard
