Peningkatan permintaan kabel tenaga, Southern Cable berpotensi kembangkan bahagian pasaran - HLIB

LocalBusiness & Finance
30 Jul 2025 • 11:44 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Peningkatan permintaan kabel tenaga, Southern Cable berpotensi kembangkan bahagian pasaran - HLIB

image is not available

30/07/2025 - 11:44

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Julai - Southern Cable Group Berhad berpotensi mengembangkan bahagian pasaran dalam perniagaan kabel tenaga berikutan permintaan yang semakin meningkat serta kekurangan persaingan ketika ini, kata Hong Leong Investment Bank (HLIB).

Firma penyelidikan itu positif terhadap prospek kumpulan memandangkan kedudukan Southern Cable sebagai peneraju dalam industri kabel tenaga di negara ini.

"Pengembangan infrastruktur tenaga di Malaysia akan terus meningkat disokong oleh usaha berterusan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi meningkatkan daya tahan grid, perluasan berterusan bekalan kuasa negara serta permintaan elektrik yang tinggi daripada pengguna berintensiti tenaga seperti pusat data," katanya dalam satu nota kajian.

Selain itu, HLIB berkata, syarikat tersenarai dalam sektor infrastruktur tenaga yang mempunyai akses kepada modal dan kelebihan skala ekonomi berada pada kedudukan terbaik untuk memanfaatkan kitaran pertumbuhan tahun ini.

Katanya, kumpulan itu sedang merancang untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran dengan lot 22, yang terletak bersebelahan dengan kilang sedia ada kumpulan di Kuala Ketil, Kedah kini sedang menjalani kerja-kerja awam dan struktur, dengan pemasangan mesin disasarkan pada suku keempat tahun ini.

Kemudahan itu akan menempatkan relau aluminium kedua kumpulan, yang akan menyokong permintaan berkaitan TNB serta eksport ke Amerika Syarikat (AS). Relau baharu itu akan meningkatkan kapasiti pengeluaran aluminium kumpulan daripada 21,600 tan setahun kepada 63,600 tan setahun.

Sebaik sahaja Lot 22 mula beroperasi, kerja pembinaan di Lot 20 dan 21 akan dimulakan, dengan sasaran siap menjelang akhir 2026.

HLIB berkata, perluasan itu dijangka meningkatkan kapasiti pengeluaran kumpulan kepada 65,000km kabel setahun, berbanding 49,900km pada suku pertama 2025 dalam tempoh dua tahun akan datang.

Dari segi produk, Southern Cable juga berada di landasan yang tepat untuk melancarkan kabel 132 kilovolt (kV) berspesifikasi 1,600 milimeter persegi (mm²) menjelang tahun depan, yang menawarkan kapasiti penghantaran lebih tinggi berbanding spesifikasi semasa 800mm².

Selain itu, permintaan daripada pelanggan di Amerika Syarikat (AS) kekal kukuh, dengan jumlah tempahan bulanan sehingga 100 kontena, berbanding anggaran semasa sebanyak 50 kontena.

Dalam perkembangan lain, Southern Cable kini dalam proses mendapatkan pensijilan daripada syarikat keselamatan swasta global, Underwriters Laboratories, untuk tiga lagi jenis kabel industri, yang menawarkan margin lebih tinggi.

HLIB Research menjangkakan kumpulan mencatatkan keuntungan yang lebih kukuh, sama ada secara suku ke suku (QoQ) mahupun tahun ke tahun (YoY), didorong oleh peningkatan penuh kapasiti tambahan sebanyak 3,000km kabel setahun yang telah mula beroperasi pada suku sebelumnya.

Kumpulan juga dijangka meraih manfaat daripada tahap pengeluaran yang kembali normal selepas prestasi suku pertama 2025 yang secara bermusim lebih lemah akibat cuti perayaan.

Selain itu, peralihan kepada kontrak bekalan jangka panjang baharu dengan TNB dijangka menyokong peningkatan margin secara sederhana.

Firma penyelidikan itu berkata, momentum pendapatan dijangka meningkat pada separuh kedua tahun ini, disokong oleh pemulaan operasi kapasiti tambahan sebanyak 2,000km setahun serta permulaan penghantaran kabel 132kV bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

HLIB memberikan penarafan “beli” ke atas saham ini, dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak RM1.90 sesaham. - DagangNews.com

standard