Frontken dijangka terus raih manfaat lonjakan permintaan semikonduktor berasaskan AI - Phillip Capital

TechnologyBusiness & Finance
6 Aug 2025 • 11:46 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Frontken dijangka terus raih manfaat lonjakan permintaan semikonduktor berasaskan AI - Phillip Capital

image is not available

06/08/2025 - 11:46

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Frontken Corporation Bhd dijangka terus menjadi penerima manfaat utama daripada lonjakan permintaan semikonduktor berasaskan kecerdasan buatan (AI) selepas mencatat prestasi kewangan melebihi jangkaan, kata Phillip Capital.

Katanya, kumpulan itu melaporkan untung bersih teras sebanyak RM85 juta bagi tempoh separuh pertama tahun kewangan 2025 (1HFY25), meningkat 35% dari tahun ke tahun.

Firma penyelidikan itu berkata, angka itu mewakili 57% daripada unjuran penuh tahun sebelumnya dan 50% daripada anggaran konsensus. Prestasi cemerlang itu sebahagian besarnya disumbangkan daripada prestasi kukuh di Taiwan, yang menyaksikan lonjakan permintaan pelanggan selaras dengan peningkatan pengeluaran cip berkaitan AI.

"Seiring dengan momentum ini, kami menaikkan unjuran pendapatan Frontken bagi tempoh 2025 hingga 2027 sebanyak 16% hingga 19%. Harga sasaran (TP) juga dinaikkan kepada RM5.20 berbanding RM4.50, berdasarkan nisbah harga terhadap pendapatan (PE) sebanyak 40 kali unjuran pendapatan sesaham pada 2026.

"Kami terus melihat Frontken sebagai peluang pelaburan yang menarik dalam rantaian nilai semikonduktor dengan pendedahan langsung kepada pertumbuhan AI,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Terdahulu, Frontken mencatatkan keuntungan bersih teras sebanyak RM53 juta pada 2QFY25, melonjak 60% tahun ke tahun.

Pendapatan meningkat 16% kepada RM157 juta, dipacu oleh kenaikan 21% daripada operasi Taiwan – pasaran utama bagi pemprosesan semikonduktor lanjutan yang didorong oleh ledakan permintaan AI.

Phillip Capital berkata, bagi menyokong trajektori pertumbuhan itu, Frontken telah menambah barisan pengeluaran baharu di fasiliti P1 dan P2, dan merancang untuk memindahkan proses yang kurang kritikal ke tapak P3 yang baru diperoleh di Malaysia.

Katanya, ia membuka ruang untuk operasi yang lebih kompleks dan bernilai tinggi yang sejajar dengan keperluan pembuatan cip AI.

"Frontken juga sedang menunggu kelulusan akhir bagi kelayakan daripada pelanggan baharu di Singapura, yang dijangka diperoleh menjelang September 2025.

"Kumpulan itu juga mendedahkan perbincangan sedang berlangsung dengan syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) untuk meneroka kerjasama strategik sebagai sebahagian daripada rancangan pengembangan ke Malaysia," katanya. - DagangNews.com

standard