Pendapatan IOI Corp dijangka meningkat dipacu lonjakan harga minyak sawit mentah, kata RHB Research

LocalBusiness & Finance
1 Aug 2025 • 3:26 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pendapatan IOI Corp dijangka meningkat dipacu lonjakan harga minyak sawit mentah, kata RHB Research

image is not available

01/08/2025 - 15:26

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Ogos - IOI Corp Bhd dijangka mencatatkan pendapatan lebih kukuh pada tahun-tahun kewangan akan datang dipacu harga minyak sawit mentah (MSM) yang tinggi selain meneroka sumber pendapatan baharu melalui usaha niaga baharu serta aktiviti penggabungan serta pengambilalihan.

RHB Research berkata, kumpulan itu menyasarkan pertumbuhan pengeluaran tandan buah segar (BTS) dan langkah-langkah kawalan kos yang boleh menyokong margin keuntungan pada masa hadapan.

Katanya, prospek syarikat kekal positif memandangkan pendapatan segmen huluan dijangka terus mencatatkan prestasi baik berikutan harga MSM yang kukuh.

Firma penyelidikan itu berkata, ia turut disokong inisiatif kumpulan untuk menceburi usaha niaga baharu bagi mempelbagaikan sumber pendapatan.

Penilaian kumpulan masih menarik, diniagakan pada nisbah harga kepada pendapatan (PE) yang diunjurkan sebanyak 17.5 kali bagi tahun 2026, iaitu di hujung bawah julat 17 hingga 22 kali berbanding rakan setara.

IOI Corp mencatatkan pertumbuhan BTS sebanyak 1.3% tahun ke tahun (y-o-y) bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 (FY25) – lebih rendah daripada sasaran awalnya iaitu 3%.

“Walaupun pengeluaran memuncak pada April, IOI Corp menjangkakan pengeluaran akan meningkat pada Julai, dengan hasil yang lebih besar dijangka berlaku pada tempoh Ogos hingga September,” katanya dalam satu nota kajian.

RHB Research berkata, pada FY26, kumpulan itu menyasarkan pertumbuhan pengeluaran BTS antara 3% hingga 5% berikutan keadaan cuaca yang lebih baik, selari dengan unjuran 4%.

“IOI Corp menjangkakan kos FY25 berada dalam lingkungan RM2,000 hingga RM2,100 setiap tan,” katanya sambil menambah, syarikat itu telah memperoleh keperluan baja bagi separuh pertama FY26 pada harga yang stabil berbanding tahun sebelumnya.

Firma penyelidikan itu berkata, bagaimanapun, kenaikan kos sebanyak 2% hingga 3% mungkin berlaku akibat pelarasan gaji minimum dan keperluan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Berkaitan risiko peraturan, RHB Research berkata, IOI Corp dijangka berdepan kesan minimum daripada peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) oleh kerajaan serta tarif dari Amerika Syarikat.

Kumpulan tersebut telah memperoleh pengecualian SST untuk operasi oleokimia, dan lebih 90% daripada jumlah dagangannya terdiri daripada MSM dan olein sawit, yang tidak dikenakan cukai tersebut.

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM4.30 sesaham.- DagangNews.com

standard