Frontken terus kukuh disokong permintaan AI dan semikonduktor, umum dividen dua sen

TechnologyBusiness & Finance
5 Aug 2025 • 5:44 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Frontken terus kukuh disokong permintaan AI dan semikonduktor, umum dividen dua sen

image is not available

05/08/2025 - 17:44

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 5 Ogos – Frontken Corporation Bhd terus mencatat prestasi kukuh bagi suku kedua tahun kewangan 2025 (2QFY25), disokong oleh lonjakan permintaan dalam sektor semikonduktor terutamanya berkaitan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran berprestasi tinggi (HPC).

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, perniagaan semikonduktornya bagi separuh pertama 2025 (1HFY25) kekal kukuh hasil permintaan konsisten daripada pelanggan utama mereka.

“Permintaan tersebut didorong oleh peningkatan penggunaan aplikasi AI dan HPC secara global.

“Kami terus berkembang didorong oleh prospek positif yang dikongsikan pelanggan utama dan sedang meneroka langkah-langkah untuk mempertingkat sokongan termasuk menambah kapasiti,” kata Frontken.

Bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2025, Frontken merekodkan keuntungan bersih RM33.49 juta berbanding RM33.33 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Pendapatan pula meningkat kepada RM156.43 juta berbanding RM134.93 juta bagi 2QFY24.

Keuntungan sesaham (EPS) ialah 2.11 sen, sedikit berkurang berbanding 2.12 sen dalam suku tahun sebelumnya.

Susulan prestasi stabil itu, Lembaga Pengarah mengisytiharkan dividen interim dua sen sesaham, dengan tarikh kelayakan dan pembayaran akan diumumkan kelak.

Frontken berkata, bagi tempoh enam bulan pertama 2025, keuntungan bersih Kumpulan meningkat kepada RM64.56 juta berbanding RM63.39 juta setahun lalu, manakala hasil pendapatan naik kepada RM288.99 juta berbanding RM275.44 juta dalam 1HFY24.

“Dalam pada itu, segmen minyak dan gas dijangka tidak mencatat pertumbuhan ketara, namun kami tetap optimis jumlah tempahan akan meningkat pada separuh kedua tahun ini.

“Prestasi konsisten Frontken sejajar dengan trajektori jangka panjang kumpulan itu yang disokong oleh teknologi transformasi seperti AI, yang terus merancakkan permintaan terhadap komponen semikonduktor canggih dan perkhidmatan bernilai tinggi,” katanya. - DagangNews.com

standard