johardy30/09/2026 - 09:50 Oleh Mohamad Iman editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 30 Sept - Sern Kou Resources Berhad akan menghentikan operasi pembuatan papan lapis anak syarikatnya, melibatkan 88 pekerja selepas perniagaan itu terus mencatatkan kerugian sejak tahun kewangan berakhir 2024.
Daripada 88 pekerja Sern Kou Plywood Sdn Bhd (SKPW), 14 merupakan pekerja tempatan manakala 74 lagi pekerja asing, menurut pemakluman syarikat di Bursa Malaysia.
Sern Kou berkata, sebilangan kecil pekerja mungkin dikekalkan bagi mengendalikan proses penutupan operasi, manakala selebihnya akan diberhentikan atau dipindahkan ke operasi lain dalam kumpulan.
Kumpulan itu menganggarkan kos pemberhentian pekerja sebanyak RM200,000, tertakluk kepada pengiraan akhir. SKPW merupakan anak syarikat milik 51% Sern Kou.
Sern Kou berkata, SKPW terus mengalami kerugian sejak tahun kewangan berakhir 2024 dan tiada jangkaan munasabah bahawa prestasi kewangannya akan bertambah baik dalam tempoh yang dapat dijangkakan.
Bagi tahun kewangan belum diaudit berakhir 30 Jun 2026 (FY2026), SKPW mencatatkan hasil RM12.43 juta, susut daripada RM17.38 juta pada FY2025, manakala kerugian selepas cukai yang boleh dikaitkan kepada Sern Kou meningkat kepada RM1.27 juta daripada RM742,000.
SKPW menyumbang kira-kira 2.8% kepada hasil kumpulan, 5.51% daripada kerugian selepas cukai kumpulan dan 1.46% daripada jumlah aset Sern Kou pada FY2026.
Operasi ditutup secara berperingkat
Susulan keputusan itu, SKPW akan melaksanakan proses penutupan operasi secara berperingkat, termasuk merealisasikan inventori, mengutip penghutang, menyelesaikan liabiliti dan komitmen kontrak serta menguruskan hartanah, loji dan peralatan.
Hartanah, loji dan peralatan berkenaan mungkin disewakan atau dilupuskan berdasarkan semakan dalaman, dengan anggaran rosot nilai kira-kira RM338,000.
Berdasarkan pegangan ekuiti 51% Sern Kou dalam SKPW, kesan kewangan kepada kumpulan daripada rosot nilai dan kos pemberhentian pekerja dianggarkan kira-kira RM274,000.
SKPW yang ditubuhkan pada 9 Jun 2016 terbabit terutamanya dalam pembuatan papan lapis dan produk berkaitan. Syarikat itu mempunyai modal diterbitkan dan berbayar sebanyak RM6.5 juta, terdiri daripada 6.5 juta saham biasa.
Sern Kou memegang 51% kepentingan dalam SKPW menerusi anak syarikat milik penuhnya, Valued Products (M) Sdn Bhd, manakala Tey Man Er memegang 30% dan Tan Siw Yong baki 19%.
Perniagaan perabot, kilang papan tidak terjejas
Sern Kou berkata, penghentian itu hanya melibatkan operasi pembuatan SKPW dan tidak akan menjejaskan perniagaan pembuatan lain kumpulan, termasuk pembuatan perabot dan operasi kilang papan.
Kumpulan itu turut menegaskan SKPW bukan anak syarikat utama dan penutupan tersebut tidak dianggap sebagai penghentian perniagaan atau operasi utama kumpulan.
Penutupan itu tidak akan memberi kesan kepada modal diterbitkan dan berbayar serta aset bersih dan aset bersih sesaham Sern Kou. Ia juga dijangka tidak memberi kesan ketara terhadap kerugian dan kerugian sesaham syarikat.
Penghentian operasi berkenaan tidak memerlukan kelulusan pemegang saham Sern Kou atau mana-mana pihak berkuasa berkaitan. Lembaga pengarah selepas mempertimbangkan semua aspek berhubung langkah itu berpandangan ia adalah demi kepentingan terbaik syarikat. — DagangNews.com





