Scientex beli 70% kepentingan dalam Mintpack China pada harga RM101.5 juta

WorldBusiness & Finance
29 Sep 2026 • 6:18 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Scientex beli 70% kepentingan dalam Mintpack China pada harga RM101.5 juta Image from: Scientex beli 70% kepentingan dalam Mintpack China pada harga RM101.5 juta johardy29/09/2026 - 18:18 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

SHAH ALAM 29 Sept - Scientex Berhad bercadang membeli 70% kepentingan dalam syarikat pembungkusan fleksibel China, Hunan Changcheng Mint New Material Technology Co Ltd (Mintpack), pada harga RMB167.3 juta (kira-kira RM101.5 juta).

 

Pengambilalihan itu dibuat menerusi anak syarikat milik penuh Scientex, Scientex Packaging (Ayer Keroh) Bhd, yang telah memeterai perjanjian jual beli kepentingan ekuiti, menurut kenyataan syarikat itu hari ini.

 

Selepas urus niaga selesai, Mintpack akan menjadi anak syarikat tidak langsung Scientex. Pihak pengurusan pengasas Mintpack akan mengekalkan 30% kepentingan dan terus terlibat dalam pembangunan syarikat itu.

 

Mintpack mempunyai pengalaman lebih empat dekad dalam industri pembungkusan fleksibel China.

 

Pelanggannya merangkumi pemilik jenama makanan dan minuman, makanan ringan, bahan perasa, makanan haiwan peliharaan, produk penjagaan rumah dan diri serta produk kecantikan.

 

Kemudahan pembuatannya meliputi ruang pengeluaran bersepadu melebihi 42,000 meter persegi, dengan keupayaan mencetak, melaminasi serta menghasilkan beg dan kantung pembungkusan.

 

Perkukuh kehadiran di China

Ketua Pegawai Eksekutif Scientex, Lim Peng Jin berkata, pengambilalihan itu akan memberikan kumpulan berkenaan pangkalan pengeluaran di China untuk memenuhi keperluan jenama tempatan dan syarikat multinasional.

 

Menurutnya, gabungan keupayaan kedua-dua syarikat juga dapat membantu pelanggan sedia ada Scientex berkembang ke China, di samping menyokong jenama serantau yang mahu memasuki pasaran luar negara.

 

Scientex akan membiayai pembelian itu menggunakan gabungan dana dalaman dan pinjaman bank.

 

Penyempurnaan urus niaga tertakluk kepada pemenuhan syarat, termasuk persetujuan dan kelulusan pihak berkuasa, pelanggan serta pembiaya yang berkaitan.

 

Kumpulan itu menyasarkan pengambilalihan berkenaan selesai menjelang akhir 2026 dan menjangkakan Mintpack menyumbang secara positif kepada pendapatannya bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2027. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved