
KOTA BHARU: Kecenderungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membentuk gabungan baharu dengan parti lain untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bukan sesuatu yang mengejutkan buat Perikatan Nasional (PN).
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, petunjuk mengenainya sudah dapat dilihat menerusi kenyataan yang telah dibuat pimpinan parti berkenaan.
Katanya, kenyataan Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Mohamad Azmin Ali dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang menggambarkan kerajaan negeri di terajui PH, khususnya PKR, sebagai ‘teman’ sudah cukup untuk ditafsirkan dari sudut politik.
“Itu dari segi politik dah jelaslah. Tak perlu isytihar, benda-benda yang boleh ditafsirkan dari segi politik.
“Jadi, kalau pun berlaku benda itu, itu bukan satu yang memeranjatkan kerana dalam PRN Negeri Sembilan pun mereka menggunakan logo parti sendiri dan meletakkan calon menentang calon PN,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Kota Bharu itu memberitahu, secara teknikal Bersatu tidak berhasrat untuk berada PN.
“Amat pelik sekiranya PRN akan datang mereka mahu menggunakan logo PN,” ujarnya.
Media semalam melaporkan, Bersatu sedang mencari rakan gabungan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kerana tidak mahu bertanding solo.
Sumber kepimpinan Bersatu menyatakan sehingga kini parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu sudah memulakan rundingan dengan beberapa parti lain untuk bergerak bersama pada PRN Melaka.-UTUSAN
The post Gabungan baharu Bersatu dengan parti lain tidak kejutkan PN-Takiyuddin appeared first on Utusan Malaysia.






