
MARANG: Pas menganggap ruang damai dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Perikatan Nasional (PN) telah tertutup berikutan tindakan parti itu bertanding melawan gabungan tersebut pada Pilihan Raya Kecil (PRN) Negeri Sembilan, baru-baru ini.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, selain itu pemimpin Bersatu juga mengeluarkan kenyataan terbuka sedia bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) menjelang PRN Melaka.
Sebab itu, beliau berkata, pihaknya tidak menjemput Bersatu yang juga merupakan anggota PN untuk menghadiri Muktamar Pas Ke-72 di Pengkalan Chepa, Kelantan, minggu depan.
“Ya lah, pada dasarnya dia (Bersatu) lawan kita pada PRN Negeri Sembilan dan ada kenyataan nak ikut bersama dengan PH,” katanya selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila, di sini, semalam.
Pada 8 Jun lalu, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Pas membuat keputusan mengakhirkan hubungan kerjasama politik dengan Bersatu selepas meneliti kedudukan dan hala tuju antara kedua-dua parti berdasarkan laporan, kajian dan penilaian semasa.
Sementara itu, menurut Abdul Hadi, tema yang menyentuh perpaduan ummah menjadi antara fokus akan dibahas dan dibincangkan dalam Muktamar Pas Ke-72.
Katanya, tema itu penting kerana parti tersebut mahu mengajak kerjasama parti-parti politik lain ke arah perpaduan ummah dalam mendepani cabaran semasa.
“Kita hendak mengajak perpaduan orang Melayu Islam dan bukan Islam yang tidak ekstrem.Fokus lain adalah memperkemas jentera pilihan raya Pas berikutan pilihan raya umum bakal berlangsung dalam tempoh terdekat memandangkan penggal yang hampir tamat.
“Perpaduan parti pun kena ada. Perpaduan kita baik, tiada krisis dalaman,” katanya.
Menurut beliau, Pas menjemput UMNO dan parti-parti dalam rakan gabungan PN untuk menghadiri muktamar berkenaan.
Sementara itu, Ketua Penerangan Bersatu Melaka, Hishamuddin Abdul Karim dilaporkan berkata, parti berkenaan terbuka untuk berbincang dengan parti lain yang berkongsi persamaan termasuk PH menjelang PRN.
Bagaimanapun, katanya, sebarang kerjasama pilihan raya harus mengecualikan parti-parti yang mengkhianati kepercayaan dan semangat kerjasama yang telah diwujudkan sebelum ini dalam PN.
Pas dan Bersatu ketika ini masih berada dalam gabungan PN.-UTUSAN.
The post Ruang damai dengan Bersatu ditutup appeared first on Utusan Malaysia.






