
KUALA LUMPUR - Pentabiran jentera Pakatan Harapan di Negeri Sembilan akan diteruskan, walaupun 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) telah menarik semula sokongan mereka.
Mengesahkan perkara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, menegaskan beliau akan terus mentadbir negeri itu seperti mana yang diamanahkan kepadanya sebelum ini.
Menurut beliau, perkara tersebut iaitu kedudukan semasa ADUN yang masih setia telah dimaklumkan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
“Baginda telah menitahkan supaya pentadbiran kerajaan negeri diteruskan seperti biasa.
“Kami akan meneruskan pentadbiran kerajaan negeri sedia ada sehingga satu keputusan yang jelas dicapai. Saya akan terus melaksanakan tugas sebagai Menteri Besar,” katanya pada sidang media di kediaman rasminya, hari ini.
Jelas Aminuddin, pentadbiran negeri kini berjalan sebagai sebuah kerajaan minoriti.
Katanya, tiada perancangan setakat ini untuk mengadakan pertemuan dengan ADUN BN bagi menyelesaikan kemelut berkenaan.
Sidang media tersebut turut dihadiri Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, serta barisan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) negeri.
Mengulas lanjut, beliau berkata tiada keperluan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan buat masa ini.
“Saya juga terkejut dengan tindakan ADUN UMNO dan BN yang menarik sokongan hari ini. Setakat ini, tiada sebarang pandangan daripada mana-mana pihak yang mencadangkan pembubaran DUN,” katanya.
Dalam perkembangan sama, semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan ADUN daripada DAP menegaskan sokongan berterusan terhadap kepimpinan Aminuddin.
Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi Dewan Undangan Negeri, dan BN bersama PH membentukan kerajaan negeri selepas memenangi 31 kerusi, susulan Pilihan Raya Negeri pada 12 Ogos 2023. - Getaran, 27 April 2026






