
MENITIKBERATKAN soal disiplin, mematuhi undang-undang jalan raya dan mengamalkan etika pemanduan berhemah menjadi elemen penting yang diutamakan oleh kumpulan Gadis Highway.
Berlandaskan prinsip itu, konvoi Gadis Highway melibatkan 100 buah motosikal yang berlangsung di beberapa negeri baru-baru ini bukan saja mengeratkan hubungan sesama mereka tetapi juga menjadi platform menyampaikan mesej keselamatan jalan raya.
Kira-kira 120 peserta wanita menyertai konvoi tersebut yang diadakan berasingan di Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.
Menurut Pentadbir Kumpulan Gadis Highway, Wan Nor Fazelin Rosdi, objektif penganjuran bukan sekadar mengumpulkan peminat motosikal. Sebaliknya, memperkukuh semangat setia kawan dalam kalangan peserta yang datang daripada pelbagai latar belakang.

Program tersebut dijadikan medium untuk menyebarkan kesedaran mengenai kepentingan keselamatan jalan raya serta etika menunggang motosikal kepada semua peserta.
Katanya peserta diingatkan supaya sentiasa mematuhi had laju, menjaga jarak selamat dan menghormati pengguna jalan raya lain sepanjang konvoi berlangsung.
Mereka berkonvoi di lebuh raya-lebuh raya di negeri masing-masing, misalnya lebuh raya Changlun-Kuala Perlis, lebuh raya Jajaran Utara, Jambatan Pulau Pinang dan lebuh raya Butterworth-Kulim.
“Konvoi ini juga bertujuan mempromosikan destinasi pelancongan tempatan terutama di kawasan yang dilalui dan memberi peluang kepada peserta menikmati keindahan lokasi sepanjang perjalanan.
“Menerusi konvoi ini juga kami ingin mengubah persepsi konvoi motosikal sebagai aktiviti yang mengganggu kelancaran lalu lintas kerana semua peserta diwajibkan mematuhi peraturan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Pergerakan dibuat secara tersusun dan setiap peserta tidak dibenarkan untuk melakukan aksi berbahaya yang boleh mengancam keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain,” katanya kepada CitaRasa baru-baru ini.
Sepanjang perjalanan suasana konvoi berjalan lancar, selamat dan teratur. Walaupun sebahagian besar peserta baru pertama kali bertemu, semangat saling membantu jelas terpancar.
“Pengguna jalan raya lain turut memberikan reaksi positif apabila melihat susunan motosikal yang kemas dan berdisiplin, manakala peserta juga menerima nasihat ringkas daripada pegawai JPJ mengenai langkah keselamatan,” katanya.
Sepanjang konvoi berlangsung tidak berlaku sebarang kemalangan atau kerosakan serius membabitkan motosikal peserta membuktikan konvoi bermotosikal mampu dilaksanakan secara selamat sekiranya setiap individu berdisiplin dan saling menjaga antara satu sama lain.
The post ‘Gadis Highway’ utamakan keselamatan jalan raya appeared first on Kosmo Digital.





