
PETALING JAYA – Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) dilaporkan mengalami kesesakan teruk susulan kemalangan maut yang berlaku tengah hari tadi.
Menurut perkongsian pengguna di Thread, kemalangan tersebut melibatkan seorang penunggang motosikal sebelum susur keluar tol Setia Alam.
“Pengguna NKVE hala Setia Alam boleh mencari jalan alternatif, ini kerana terdapat kemalangan maut penunggung motosikal sebelum keluar tol Setia Alam. Takziah kepada keluarga mangsa, saya sedikit trauma tengok darah banyak mengalir atas permukaan jalan,” kata Mahmud Fahrurrazi.
Sementara itu, seorang lagi pengguna dikenali sebagai Najmi Latif berkata, kemalangan itu menyebabkan satu lorong sahaja dibuka untuk pengguna lebuh raya berkenaan.
Tinjauan di ruang komen mendapati, pengguna memaklumkan kesesakan tersebut turut menjejaskan pergerakan pengguna di lebuh raya Elite.
“Sampai ke Elite sesakya, lalu tadi mangsa dah bertutup. Semoga dipermudahkan,” kata Mizzbada.
“Baru dapat lepas, setelah satu jam,” kata Sya Rostam.
Sementara itu, Lembaga Lebuhraya Malaysia memaklumkan lorong tengah dan lorong kecemasan ditutup susulan nahas terbabit di KM5.9 arah Selatan dari Shah Alam ke Setia Alam. – KOSMO! ONLINE
The post Kemalangan maut punca NKVE sesak teruk appeared first on Kosmo Digital.






