Tragedi RXZ Members: Fasiliti hospital boleh diganti, nyawa tiada galang ganti -Menteri Kesihatan

LocalHealth & Fitness
3 Aug 2026 • 4:17 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Penganjur konvoi motosikal berskala besar termasuk RXZ Members digesa menjadikan pesanan pemanduan berhemah dan advokasi keselamatan jalan raya sebagai agenda wajib bagi setiap penganjuran.

Advokasi keselamatan wajib elak lebih banyak kemalangan

Menerusi satu kenyataan, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menyatakan, langkah itu penting bagi mengelakkan lebih banyak tragedi kehilangan nyawa akibat kemalangan jalan raya.

Jelasnya, setiap kali berlangsungnya himpunan besar melibatkan peminat permotoran, jabatan kecemasan hospital di seluruh negara menyaksikan peningkatan kes kemalangan jalan raya termasuk yang meragut nyawa.

“Kepada pihak penganjur program konvoi mega sebegini, saya menyokong penuh niat baik dan semangat silaturahim yang dianjurkan kalian.
“Penganjur mempunyai tanggungjawab moral untuk memastikan keselamatan setiap peserta terjamin,” katanya.

Pada 31 Julai lalu, media melaporkan tiga penunggang motosikal maut manakala dua lagi cedera parah dalam empat kemalangan berasingan di tiga daerah di Pahang ketika dalam perjalanan menghadiri Program RXZ Members 8.0 di Kuala Terengganu.

Terbaharu, seorang lagi pemuda maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 354, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) arah Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Dungun ketika dalam perjalanan pulang daripada program sama.

Penganjur RXZ Members 8.0, Mohamad Faizal Mat Ali sebelum ini memaklumkan edisi kali ini mencatat penyertaan lebih 200,000 peserta, sekali gus menjadi penganjuran terbesar sejak acara itu diperkenalkan pada 2017.

Image from: Tragedi RXZ Members: Fasiliti hospital boleh diganti, nyawa tiada galang ganti -Menteri Kesihatan

Kemalangan jalan raya penyumbang ke-5 kematian pramatang

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata nahas jalan raya kini merupakan antara cabaran kesihatan awam paling serius di Malaysia dan menjadi penyumbang kelima tertinggi kepada kematian pramatang.

Berdasarkan Indeks Kematian Jalan Raya Malaysia oleh Kementerian Pengangkutan (MoT), secara purata 18 individu maut setiap hari akibat kemalangan jalan raya, dengan 59 peratus daripada jumlah itu melibatkan penunggang motosikal.

Image from: Tragedi RXZ Members: Fasiliti hospital boleh diganti, nyawa tiada galang ganti -Menteri Kesihatan

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada petugas kecemasan dan trauma di hospital Kementerian Kesihatan (KKM) yang bertungkus-lumus menyelamatkan mangsa kemalangan jalan raya.

Dalam masa sama, beliau menggesa masyarakat mengutamakan keselamatan berbanding kelajuan serta memperkenalkan slogan “Yang Santai, Pasti Sampai” bagi menggalakkan budaya tunggangan berhemah dan pematuhan had laju.

“Segala fasiliti dan sumber perubatan di hospital boleh diganti, namun nyawa yang hilang pasti tiada galang gantinya. Jadikan keselamatan nyawa sebagai keutamaan sebelum memulas pendikit jentera dan ingatlah wajah insan tersayang yang menanti kepulangan anda di rumah,” katanya.

Image from: Tragedi RXZ Members: Fasiliti hospital boleh diganti, nyawa tiada galang ganti -Menteri Kesihatan

Sumber: Facebook Dr Dzulkefly Ahmad

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved